Share |

Thursday 31 October 2013

Respon kepada Dr Kua: Sekolah bukan pusat penyembelihan

Dari Umar Hakim Mohd Tajuddin,

Merujuk komentar Dr Kua Kia Soong yang bertajuk ‘Schools are not abattoirs’ yang disiarkan semalam, ternyata benar terdapat banyak ruang-ruang pendidikan dan nilai setempat yang tidak dipertimbangkan oleh Kementerian Pendidikan dalam menangani isu berkaitan penyembelihan korban di kawasan sekolah.

Pendidikan yang holistik akan mampu membentuk pelajar yang mampu menyelesaikan konflik dengan aman, menggunakan pertimbangan tepat dalam keadaan kritikal dan teguh dalam menyatakan kebenaran. Elemen-elemen ini menjadi lebih penting sebagai pelajar yang membesar dalam sebuah negara majmuk yang bertunjangkan Islam seperti Malaysia.

Dalam membina elemen ini dalam konteks Malaysia, pemahaman awal kepada asas kenegaraan perlu diperkukuhkan melalui pengenalan kepada Perlembagaan Negara seawal mungkin. Penghayatan kepada Perkara 11 Perlembagaan Malaysia khususnya harus menyediakan semua rakyat tentang hakikat bahawa ajaran dan amalan Islam akan terlihat dan dipraktikkan di mana-mana sahaja secara meluas dan bebas, samada di ruang persendirian mahupun awam dan ini termasuklah institusi-institusi kerajaan seperti sekolah.

Dan ini adalah pemandangan lumrah di mana-mana negara di mana identiti dan imejnya akan dicorakkan secara semulajadi oleh komuniti majoriti.

Pembelajaran luar kelas

Pembelajaran di luar kelas merupakan satu pendekatan penting dalam memperkayakan para pelajar dengan pengalaman dan membantu pengaplikasian kurikulum secara amali. Terdapat banyak dapatan-dapatan kajian yang menunjukkan manfaat besar kepada pelajar yang didedahkan dengan pembelajaran luar kelas secara konsisten dan terpandu.

Perayaan Korban membuka ruang pembelajaran sebegini khususnya kepada pelajar Muslim untuk mendekati, memerhati dan melibatkan diri secara terpandu dalam keseluruhan proses amalan tersebut seperti yang mereka pelajari dalam silibus Pendidikan Islam. Oleh itu, wajar jika pihak kementerian menggalakkan para guru untuk membawa pelajar ke lokasi-lokasi korban untuk memanfaatkan peluang ‘experiential learning’ ini. Bukan itu sahaja, pengurusan sekolah patut mempelawa masyarakat setempat untuk melakukan korban di padang sekolah terutamanya di bandar-bandar besar yang sangat dimaklumi menghadapi masalah kekurangan tanah lapang yang sesuai.

Pendidikan yang baik ialah yang melibatkan penyampaian yang berterus terang, jujur dan berasaskan fakta. Mengkategorikan proses penyembelihan yang dilakukan dengan kaedah yang betul sebagai satu bentuk kezaliman sehingga boleh mencetus kecenderungan untuk membunuh merupakan satu cara mendidik yang cuai, tidak jujur dan boleh dikatakan sebagai berniat jahat.

Berdasarkan kajian yang diterbitkan, proses penyembelihan secara Islam didapati tidak menzalimi haiwan. Bahkan dalam satu laporan oleh seorang saintis haiwan dan pakar industri ternakan di AS, beliau mengesahkan bahawa kaedah sembelihan samada tanpa renjatan mahupupun dengan renjatan boleh digunapakai apabila dilakukan dengan betul. Keindahan pendidikan yang dilaksanakan dengan jujur dan berterus-terang terserlah apabila ia dapat menyemai sikap belas kasihan terhadap haiwan dan kesedaran untuk menjaga haiwan dengan tertib walaupun topiknya ialah penyembelihan.

Toleransi minoriti, kesopanan majoriti

Dalam konteks Malaysia, menguruskan perbezaan antara agama dan kaum sangat penting dalam mengekalkan keharmonian. Keharmonian ini telah lama dinikmati selama berdekad-dekad kerana wujudnya toleransi kelompok minoriti yang dibalas dengan kesopanan kelompok majoriti. Manifestasi hubungan baik ini dapat kita lihat melalui sikap guru besar sekolah yang menjadi tumpuan dalam isu ini dalam mengurus sensitiviti perkara tersebut.

Guru besar itu menunjukkan sikap sopannya dengan mengambil pandangan kakitangannya yang bukan Muslim lalu bersama-sama mengusahakan langkah kawalan bagi memisahkan murid yang tidak boleh terlibat dalam aktiviti itu walaupun beliau mempunyai kuasa pemutus sebagai ketua di sekolah itu. Nilai sebegini patut diberi penekanan di kelas-kelas untuk dihayati dan diamalkan. Keharmonian ini tidak patut dijadikan tebusan oleh sebilangan kecil mereka yang giat mempersoalkan hak-hak kelompok majoriti sehingga mahu mengheret komuniti minoriti yang kebanyakannya sangat mesra.

Kesimpulannya, amalan Korban yang berlangsung setahun sekali ini boleh diperhalusi untuk diterapkan dalam sistem pendidikan negara. Kementerian Pendidikan wajar mempertimbangkan untuk mengaplikasikannya kerana manfaatnya jika diolah dengan baik mampu merentas semua kelompok pelajar di samping menyumbang dalam mengekalkan keharmonian negara untuk jangka masa panjang.

No comments: