Share |

Friday 25 October 2013

PAS bantah tuntutan COMANGO iktiraf LGBT, sensitiviti Islam

Keputusan yang eksklusif melibatkan umat Islam ini seharusnya dihormati Comango dan tidak dijadikan isu yang spekulatif dan berniat jahat.

KUALA LUMPUR: PAS mendesak Gabungan NGO Hak Asasi Manusia (Comango) yang menuntut perkara-perkara yang mencabar kedudukan Islam di negara ini ketika proses Semakan Berkala Sejagat (UPR) di Geneva, Switzerland hari ini, digugurkan.

Ini berikutan tuntutan Comango yang menuntut Malaysia menandatangani Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politik (ICCPR) yang menyentuh mengenai kebebasan beragama dan kelonggaran seseorang untuk menukar sekaligus mencabar undang-undang Syariah negara.

Malaysia juga digesa mengiktiraf hak-hak orientasi seksual dan identiti jantina (SOGI) bagi golongan lesbian, gay, biseksual, dan transeksual (LGBT) termasuk memberi kebenaran untuk mengiktiraf perkahwinan sejenis.

Comango mempertikaikan peruntukan yang terdapat dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah dan menggesa untuk menggugurkan atau meminda peruntukan mengenai polisi moral yang didakwa menggugat hak privasi seseorang.

Selain itu, Comango turut mempertikaikan beberapa keputusan mahkamah Syariah terutamanya mengenai isu kalimah Allah, pengharaman ajaran syiah dan hak seorang Muslim untuk menukar agama anak bawah umur kepada Islam.

Mengulas mengenainya, Ahli Parlimen PAS-Temerloh, Nasruddin Hassan menegaskan keputusan yang eksklusif melibatkan umat Islam ini seharusnya dihormati Comango dan tidak dijadikan isu yang spekulatif dan berniat jahat.

“Kami turut mendesak agar campurtangan atau tekanan luar terhadap keputusan yang telah diambil melibatkan Islam tidak wajar dilobi ke peringkat antarabangsa memandangkan is harus ditangani secara ilmiah di negara ini disamping mewujudkan perundingan bersama di setiap peringkat,” kata kenyataan berkenaan.

Beliau bagaimanapun berkata PAS menyokong usahama sesiapa sahaja yang memperjuangkan hak asasi manusia, asalkan ia tidak bercanggah dengan amalan Islam.

Malaysia diwakili delegasi yang terdiri daripada wakil Kementerian Luar, Jabatan Peguam Negara, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan jabatan dalam kerajaan yang berkaitan dengan isu-isu yang ditimbulkan dalam UPR termasuk Kementerian Dalam Negeri.

Turut hadir Delegasi Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Islam di dalam Proses Semakan Berkala Sejagat (MuslimUPro).

No comments: