Share |

Tuesday 22 October 2013

Abim pandang berat polemik video perbualan penyembelihan lembu korban di sekolah - Muhammad Faisal Abdul Aziz

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memandang berat penyebaran video rakaman perbualan seorang penganut Hindu dengan guru besar sebuah sekolah (mengenai penyembelihan lembu korban di sekolah) yang heboh diperkatakan semenjak kebelakangan ini.

ABIM menilai penyebaran video tersebut sebagai satu usaha yang boleh menimbulkan ketegangan serta merangsang polemik agama serta perkauman yang tidak diingini.

Justeru, ABIM berpandangan ia sebagai percubaan untuk memburukkan hubungan antara agama di Malaysia. Selain dari itu, ia juga mencemar institusi pendidikan yakni sekolah yang seharusnya dihormati.

Sekolah sebagai sebuah institusi pendidikan mempunyai kedudukan yang tinggi dalam masyarakat dan perlu diberi dokongan sepenuhnya.

Sekiranya berlaku perkara yang tidak wajar, teguran secara terhormat perlu diberikan bukan dengan biadab serta menggunakan saluran media tidak rasmi.

Semangat berkorban adalah semangat yang mulia di sisi agama Islam. Pengorbanan yang digambarkan dalam kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail adalah pengorbanan bagi menegakkan ketaatan berasaskan kebenaran.

Ia tiada kena mengena dengan apa-apa tujuan untuk menghina mana-mana agama.

Seharusnya seluruh masyarakat menghayati kisah ini dan diterjemahkan menerusi semangat perpaduan yang juga turut menuntut pengorbanan.

Bagi memastikan semua agama dan bangsa dapat berkongsi negara Malaysia ini maka pengorbanan yang berteraskan semangat perlembagaan mesti dihayati.

Bagi merealisasikan hasrat ini, sekolah adalah tempat yang terbaik. Sekolah perlu untuk memahamkan pelajar secara langsung menerusi aktiviti di dalam kelas mahupun di luar kelas semangat perlembagaan ini.

Setiap pelajar mesti menerima reality perlembagaan seperti yang telah termaktub sejak sekian lama.

ABIM yakin dengan kemesraan dan keramahan yang wujud dalam masyarakat, anasir penggugat perpaduan dapat diketepikan.

Kepelbagaian dan kerencaman agama, bangsa, dan budaya akan dapat disatukan dalam bingkai kesatuan sekiranya semua pihak memainkan peranan masing-masing. – 21 Oktober, 2013.

* Muhammad Faisal Abdul Aziz merupakan Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

No comments: