Share |

Thursday 24 October 2013

74 mati ditembak dari Januari hingga Ogos tahun ini

Selangor mencatatkan jumlah tertinggi dengan 15 kes, diikuti Perak (10), Pulau Pinang (9), Johor dan Sabah (7).

KUALA LUMPUR: Sebanyak 74 kes bunuh melibatkan penggunaan senjata api oleh rakyat tempatan direkodkan sepanjang tempoh lapan bulan sejak Januari sehingga Ogos tahun ini.

Selangor mencatatkan jumlah tertinggi dengan 15 kes, diikuti Perak (10), Pulau Pinang (9), Johor dan Sabah (7), masing-masing Kuala Lumpur, Kelantan serta Sarawak (5), Kedah dan Negeri Sembilan (4), Melaka, Pahang, Terengganu (1), dan Perlis (0).

Angka itu dinyatakan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika menjawab soalan Ahli Parlimen DAP-Bakri Er Teck Hwa yang bertanyakan pecahan kes tembak mati rakyat Malaysia sepanjang tahun 2013 dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Ditanya punca senjata api begitu mudah didapati, Ahmad Zahid mengakui kekerapan pergerakan keluar masuk, kesibukan lalu lintas di pintu masuk serta interaksi ekonomi antara penduduk dikawasan sempadan negara jiran membuka peluang yang luas kepada aktiviti penyeluduan.

Malah kewujudan ‘lorong tikus’ di sepanjang sempadan ekoran faktor geografi sempadan Malaysia-Thailand juga digunakan untuk mewujudkan rangkaian yang mendorong kepada aktiviti penyeludupan senjata api.

Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melaksanakan dua jenis operasi khas; Ops Laras dan Ops Api dari semasa ke semasa untuk mengekang penyeludupan dan mengawal penggunaan senjata api.

“Untuk mengatasi masalah yang dikatakan anggota polis marin gagal dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya, dicadangkan pasukan polis marin diperkukuh dengan memperluas kawasan tanggungjawab dilaut sehingga lima batu nautika dari pantai.

“Kerajaan sedang mempertimbang perolehan aset dan pembinaan infrastruktur baru dalam usaha mempertingkatkan daya operasi,” katanya.

Katanya, dengan pengukuhan dan perluasan kuasa tanggungjawab pasukan polis marin, adalah diyakini pertahanan pengairan negara akan lebih berkesan dalam menangani apa jua bentuk pencerobohan yang meliputi aspek keselamatan serta ketenteraman kawasan pengairan negara.

No comments: