Share |

Saturday 7 September 2013

Perkasa: Beli hakcipta Tanda Putera dan buat filem CD

Presiden Perkasa membuat cadangan ini agar lebih ramai orang muda menghayati erti kemerdekaan negara.

PETALING JAYA: Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali hari ini mencadangkan agar hak cipta filem Tanda Putera dibeli oleh kerajaan dengan dana terkumpul dari syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Saya cadangkan kerajaan membeli filem itu dengan dana terkumpul dari syarikat GLC dan diterbitkan dalam bentuk cakera padat untuk edaran umum untuk program Memperkasa Kesedaran Rakyat: Membina Jati Diri melalui Sejarah.

“Ia langkah positif untuk sambutan Hari merdeka dan Hari Malaysia,” kata Ibrahim dalam satu kenyataan media.

Filem sutradara Datuk Shuhaimi Baba, Tanda Putera memfokuskan kepada pentadbiran Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein dan Timbalan Perdana Menteri Tun Dr Ismail Abdul Rahman.

Penayangan filem ini mengundang kontroversi sejak tahun lepas apabila dikatakan mengandungi adegan di mana seorang pemimpin kanan DAP membuang air kecil ke atas bendera Malaysia.

Filem ini mula ditayangkan pada 29 Ogos namun gagal mendapat keuntungan sewajarnya.

Ibrahim berkata langkah itu wajar dibuat kerana terdapat golongan muda yang tidak dapat menghayati sejarah kemerdekaan negara.

Selain itu beliau turut menyatakan agar Tanda Putera digunakan sebagai sebahagian daripada modul latihan peserta Pusat Latihan Khidmat Negara.

Cadangan Ibrahim untuk mempromosi filem Tanda Putera ini pertama kali dicadangkan.

Empat hari lalu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim mencadangkan filem ini dijadikan bahan pembelajaran di peringkat universiti.

No comments: