Share |

Tuesday, 17 September 2013

Hari Penjajahan: Polis ugut tangkap anak muda buat perarakan

Antara perkataan yang terdapat pada baju anak-anak muda itu ialah "Apa Anak-Anak Sarawak dan Sabah Mau Lagi?"

KOTA KINABALU : Sekumpulan 20 anak muda Sabah yang cuba membuat perarakan protes tentang apa yang mereka dakwa “Hari Penjajahan” tidak dapat berbuat demikian semalam sebab polis memberi amaran akan menangkap mereka.

Kumpulan berkenaan yang berpakaian t-shirt hitam dan kuning mula berkumpul di depan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada jam 8.30 pagi tetapi anggota polis, beruniform dan berpakaian awam, jauh lebih banyak dari mereka.

Tinjauan FMT mendapati kira-kira 30 anggota polis berada di kawasan itu.

Menurut pemimpin kumpulan anak muda itu, Jalumin Bayogoh, mereka sudah memberi notis kepada pihak polis tetapi pagi semalam diberi amaran polis akan menangkap mereka jika berucap atau jika menaikkan sebarang kain pemidang dan membuat perarakan di bandaraya.

“Polis beritahu kami, angkat saja “hailer” terus tangkap. Hasmin Azroy Abdullah yang turut memimpin kumpulan ditarik polis ke van dan diberi amaran yang serupa. Dia hanya dapat sertai kami semula di akhir perhimpunan kami,” kata Jalumin yang juga salah seorang pemimpin Parti Reformasi Negeri (Star) Sabah.

Azroy merupakan Ketua Pemuda parti itu di Sabah. Kedua-dua mereka pernah bertanding bagi kerusi Parlimen atas tiket Star pada pilihanraya Mei 2013 lalu.

Kumpulan itu kemudian bergerak menuju ke Asia City, kira-kira 800 meter dari bangunan mahkamah dan berehat di sebuah restoran di sana, terus di bawah pengawasan anggota polis berpakaian awam.

Antara perkataan yang terdapat pada baju anak-anak muda itu ialah “Apa Anak-Anak Sarawak dan Sabah Mau Lagi?”. Difahamkan perkataan yang sama ada pada kain pemidang yang tidak dibenarkan diangkat.

Baju mereka itu turut menyatakan dulunya Malaysia adalah persekutuan tiga negara tetapi diubah pada 27 Ogos 1976 menjadi 13 negeri menjadikan Sabah dan Sarawak negeri ke-12 dan ke-13 dalam Persekutuan.

T-shirt mereka bagaimanapun mengandungi fakta yang salah sebab menyatakan pada 16 September, 1963 Malaysia mengandungi Sarawak, Sabah dan Malaya sahaja sedangkan Singapura ketika turut masih berada dalam Persekutuan Malaysia.

Singapura hanya diundi keluar dari Malaysia menerusi undi di Parlimen Malaysia pada 1965.

No comments: