Share |

Thursday, 12 September 2013

ADUN DAP pertikai projek pembakar

Sedangkan tidak ada sebarang perbincangan atau pandangan orang ramai khususnya penduduk yang tinggal di Sendayan diambilkira sebelum projek ini diluluskan.

SEREMBAN: Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Kepayang, Cha Kee Chin (DAP) mempertikaikan kelulusan kerajaan yang membenarkan sebuah pembakar dibina di Tanah Merah berdekatan Sendayan tanpa mengambil kira pandangan orang ramai.

“Saya amat kecewa apabila semalam Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan mengumumkan pembinaan sebuah insinerator di Tanah Merah, berdekatan Sendayan secara tiba-tiba,” katanya.

Sedangkan dakwanya, idak ada sebarang perbincangan atau pandangan orang ramai khususnya penduduk yang tinggal di Sendayan diambilkira sebelum projek ini diluluskan.

“Saya amat bimbang pada satu faktor sahaja dalam projek insinerator ini, iaitu faktor keselamatan penduduk sekitar Sendayan,” katanya lagi.

Beliau berkata sepatutnya kerajaan mendapatkan pandangan penduduk setempat dan NGO-NGO yang mempunyai kepakaran dalam teknologi pembakar ini sebelum projek ini diluluskan.

“Kerajaan dan syarikat yang hendak membina dan kendalikan pembakar ini sepatutnya memberi taklimat dan maklumat penuh bagaimana sistem pembakar ini akan beroperasi dan bagaimana tahap keselamatan termasuk gas dan sisa buangan akan dikawal,” katanya lagi.

Cha menambah apabila Menteri Besar mengumumkan nama syarikat yang akan membina dan mengenadalikan insinerator ini, ini membuktikan semuanya telah diputus dan dimuktamadkan dan barulah diumum pada rakyat.

“Pendekatan ini sangat tidak betul,” katanya.

Beliau berkata sepatutnya kerajaan belajar daripada insiden bantahan penduduk Broga di Selangor lebih kurang 10 tahun lepas apabila ketika itu kerajaan bercadang untuk membina sebuah pembakar di Broga.

“Akibat bantahan berterusan atas faktor keselamatan penduduk sekitar Broga, projek tersebut dibatalkan,” ujarnya.

“Kini muncul pula projek seumpama itu di Negeri Sembilan.Saya difahamkan lesen operasi Pusat Kualiti Alam (Pusat pelupusan sisa toksid ) di Sendayan akan tamat pada awal tahun 2015 dan apa yang saya bimbang, ada kemungkinan jika lesen Pusat Kualiti Alam tidak disambung oleh Kerajaan Negeri, maka pembakar ini akan menggantikan operasi Pusat Kualiti Alam.

Beliau mendakwa ramai yang tidak faham isu pembakar ini.

“Apa yang kita bimbang bukan sekadar bau tetapi kita bimbang jika timbul masalah penyakit kepada penduduk terutama kepada generasi akan datang,” katanya.

Beliau juga bimbang sekiranya tahap keselamatan pembakar ini tidak memuaskan ia boleh memudaratkan kesihatan masyarakat setempat.

“Justeru itu saya merayu pada NGO-NGO yang mempunyai kepakaran tentang bahaya dan operasi insinerator ini agar dapat tampil dan membantu kami untuk mengambil langkah dan tindakan sewajarnya.K ami tidak menghalang pembangunan tetapi kami prihatin tentang tahap keselamatan rakyat,” ujar Cha.

No comments: