Sinar Harian
by SYAHREDZAN JOHAN
by SYAHREDZAN JOHAN
Apabila
rencana ini diterbitkan, insya-Allah keputusan pilihan raya umum yang
ke-13 akan diketahui. Pihak mana sekalipun yang memenangi PRU ini, saya
jangka kemenangan tersebut adalah tipis, tidak lebih daripada 20 kerusi.
Analisa demi kajian akan dijalankan oleh penganalisis politik (sama ada
yang duduk di atas kerusi malas atau tidak) dari pelbagai aspek pilihan
raya yang disebut sebagai ‘the mother of all elections’ ini.
Walau
apa pun yang berlaku, walau apa pun keputusan PRU ini, penulis kira
banyak yang perlu dipelajari dan dijadikan teladan dan banyak juga
perkara yang perlu kita renungkan sepanjang tempoh berkempen untuk PRU
ini.
Penulis
tidak berniat untuk menyentuh tentang aspek-aspek positif yang ada,
seperti lebih banyak debat yang berlangsung, manifesto yang ditawarkan
dan pengundi-pengundi yang lebih bijak dan matang dalam membuat pilihan.
Tetapi, penulis ingin membangkitkan suatu dimensi kempen PRU kali ini
yang merisaukan penulis, iaitu kempen yang memprejudiskan hubungan
antara kaum.
Penulis
banyak terbaca dan terlintas mesej-mesej yang berbaur perkauman dan
menakut-nakutkan pengundi Melayu-Islam. Contohnya, SMS yang mengatakan
bahawa hak Melayu akan tergadai. Posting Facebook yang mengatakan bahawa
negara akan menjadi republik. Papan tanda yang memomokkan Kristian.
Kempen seperti ini bertujuan untuk memberi gambaran negatif pengundi
Melayu-Islam kepada parti-parti tertentu dengan mengeksploitasi
prasangka mereka kepada kaum lain.
Pada
masa yang sama, pengundi bukan Islam pula ditakutkan dengan jembalang
Islamisasi dalam bentuk hudud dan negara Islam. Dikatakan
kebebasan-kebebasan warga bukan Islam akan digugat. Hiburan akan lenyap
dari bumi Malaysia. Prasangka buruk terhadap imej Islam, yang
sememangnya dikerjakan dengan teruk oleh media Barat dan sesetengah
orang Islam sendiri, dieksploitasi demi kepentingan politik. Walaupun
saya bukan seorang yang dikira Islamis dalam ideologi politik saya, saya
amat tidak selesa dengan kempen fobia Islam yang diutarakan sesetengah
pihak.
Politik
yang menyalakan sentimen kaum dan agama seperti ini tidak sihat. Jika
matlamat kita adalah untuk bersatu dan berganding bahu dalam semangat
satu Malaysia, politik seperti ini akan menggagalkan wawasan kita.
Bagaimana rakyat boleh bersatu jika kita masih dibelenggu dengan buruk
sangka, jika kita masih was-was dengan saudara se-Malaysia kita yang
lain? Bagaimana kita boleh bersatu sekiranya kita masih berkempen
menggunakan isu-isu yang menyebabkan hubungan antara kaum menjadi
tegang?
Perpaduan
tidak akan dicapai tanpa penerimaan. Penerimaan bahawa setiap warga
Malaysia adalah anak Malaysia, tidak kira warna kulitnya, etniknya,
agamanya mahupun ideologi politiknya. Jika kita masih dibelenggu dengan
momok dan jembalang silam, jika kita masih terikat dengan rantai-rantai
yang disarungkan dek penjajah, mana mungkin kita boleh melangkah ke
hadapan bersama-sama dan dengan yakin mendepani dunia.
Namun,
dalam kebimbangan penulis, penulis masih mempunyai harapan. Tempoh
hari, penulis ada menghadiri ceramah di Shah Alam. Salah seorang
daripada penceramah adalah seorang yang berbangsa India. Bahasa
Melayunya pekat dengan telor India. Tetapi, dari hatinya dia berkata
bahawa Malaysia adalah negaranya, dia lahir di sini, dia hidup di sini
dan dia akan mati di sini. Dan dia menegaskan bahawa dia bukanlah
pendatang, walaupun sering digelar sedemikian. Hadirin yang
mendengarnya, yang majoritinya berbangsa Melayu bersorak dan bertepuk
tanda bersetuju.
Mungkin
politik bakar sentimen perkauman masih lagi berkesan, kerana itu ia
masih digunakan. Namun jika kita tunjukkan bahawa ia semakin kurang
keberkesanannya, mungkin di PRU akan datang kita tidak lagi disajikan
dengan politik sebegini.
**Penulis seorang peguam muda yang mengamal undang-undang sebagai rakan kongsi di sebuah firma guaman di Kuala Lumpur.
No comments:
Post a Comment