Share |

Friday, 19 April 2013

Tinjauan: Kota Raja kekal kepada Pakatan Rakyat

Pengundi kaum India rata-rata menyokong Pakatan Rakyat dan di DUN Sri Andalas sokongan bukan Melayu dijangka meningkat kepada 61 peratus.

PETALING JAYA: Tiada yang menyangka Kota Raja jatuh ke tangan Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum 2008. Namun pada 2013 ini, suasana sudah tidak sama lagi.

Kibaran bendera Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat kelihatan di segenap sudut Kota Raja walaupun hari penamaan calon belum lagi diadakan.

Aktiviti penduduk berjalan seperti biasa walaupun agak perlahan berbanding dengan Kelang ataupun Shah Alam yang berjiran dengannya.

Pakatan Rakyat akan meletakkan penyandang, Dr Siti Mariah Mahmud dari PAS tetapi beliau akan dicabar oleh S Murugesan dari BN serta seorang bekas tokoh Hindraf, P Uthayakumar bagi kerusi parlimen Kota Raja.

Penyandang kerusi Sri Andalas, Dr Javier Jeyakumar dari PKR akan ditentang oleh Ketua Pemuda MIC, T Mohan, manakala penyandang Seri Muda Suhaimi Shafie juga PKR akan dicabar oleh Abdul Raof Mokhtar dari Umno.

“Susah nak cakap mengenai sekarang, mereka tidak boleh membuat keputusan yang tepat. (Tetapi) masyarakat India di sini masih memerlukan banyak bantuan,” kata seorang wanita keturunan India, Sandramanthy Chinapan.

Bagaimanapun, beliau berkata, masyarakat India di Kota Raja menyokong PKR.

Pengundi meningkat

Dr Javier berkata, beliau melakukan segala-galanya untuk rakyat Sri Andalas sejak menjadi wakil rakyat dalam pilihan raya umum 2008.

“Seramai 1, 600 orang Islam telah mendapat skim khairat kematian dan 1,300 bantuan kepada anak baru lahir di Selangor,” katanya.

Seorang sukarelawan, Aruldas Michael 49, berkata, sokongan masyarakat India kepada PKR meningkat, padat dan sempurna.

Jumlah pengundi berdaftar di Kota Raja meningkat dari kira-kira 34, 800 pada tahun 2008 kepada 58, 225 orang.

Pada 2008, 53 peratus adalah pengundi bukan Melayu dan 47 peratus pengundi orang Melayu, tetapi kini pengundi bukan Melayu mencapai 61 peratus manakala pengundi orang Melayu sebanyak 39 peratus.

Kata Dr Xavier lagi, beliau yakin sekurang-kurangnya 65 peratus keturunan India pengundi akan menyokong calon Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum ke 13 ini.

Manakala pengundi orang Melayu yang akan mengundi calon Pakatan Rakyat meningkat kepada 50 peratus.

No comments: