Share |

Tuesday, 23 April 2013

Dongeng tanpa Perlembagaan

Sinar Harian
by SYAHREDZAN JOHAN


DUA minggu lagi, rakyat Malaysia akan membuang undi untuk menentukan hala tuju negara bagi 5 tahun mendatang. Menurut statistik Suruhanjaya Pilihan raya, seramai 13.3 juta pengundi layak mengundi bagi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Penulis bukanlah penganalisis politik, mahupun ahli mana-mana parti politik, tetapi penulis amat gemar memerhati perkembangan politik tanah air. Apatah lagi di tahun-tahun kebelakangan ini di mana kita melihat begitu banyak isu politik dan yang dipolitikkan. Proses pendemokrasian rakyat telah memeriahkan lagi demokrasi tanah air.

PRU kali ini lain daripada yang lain. Media sosial menjadi medan tempur parti politik. Yang bukan politikus juga berpolitik di media sosial. Seorang kenalan Facebook penulis, yang sebelum ini hanya post tentang lembu yang diternaknya, tiba-tiba mengulas pula tentang politik. Penulis gemar melayari susur masa Facebook dan Twitter, melihat warga Malaysia berpesta politik dengan video, foto dan kata-kata.

Semasa melayari media sosial, penulis kerap kali terbaca kenyataan-kenyataan yang menarik perhatian penulis. ‘Dongeng’ pilihan raya yang dikemas kini di Facebook dan Twitter dan sering kali dijadikan modal politik. Antara kenyataan yang sering dibaca oleh penulis adalah kononnya agama Islam, sebagai agama Persekutuan, akan ditukar kepada agama lain, contohnya agama Kristian. Ada juga yang mengatakan bahawa Malaysia akan ditukar menjadi sebuah republik. Ada juga yang mengatakan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak akan dimansuhkan dan kononnya bahasa Inggeris/Mandarin akan dijadikan bahasa kebangsaan.

Semua ini adalah rekaan semata-mata. Kita harus ingat, Malaysia adalah sebuah negara berperlembagaan. Perlembagaan itu undang-undang tertinggi dan tidak boleh sewenang-wenangnya diubah mengikut selera mana-mana pihak. Pindaan Perlembagaan hanya boleh diluluskan dengan mendapat sokongan dua pertiga ahli Parlimen, iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Maknanya, mana-mana pihak yang mahu membuat pindaan harus mengawal dua pertiga Ahli-ahli Parlimen. Di samping itu, pindaan-pindaan terhadap kedudukan istimewa orang Melayu, bahasa kebangsaan dan Majlis Raja-raja tidak boleh dilakukan tanpa persetujuan Majlis Raja-raja, walaupun terdapat sokongan dua pertiga Parlimen. Maknanya, Perlembagaan itu sendiri mempunyai perlindungan ke atas perkara-perkara ini, supaya tidak boleh disentuh oleh tangan-tangan politik.

Tidak mungkin terdapat dua pertiga Ahli Parlimen yang akan setuju untuk menjadikan Malaysia sebuah republik, menjadikan Islam agama rasmi atau menghapuskan kedudukan istimewa Melayu. Tidak mungkin juga Majlis Raja-raja akan memberi persetujuan.

Oh, lagi satu dongeng; bahawa undi anda boleh dikesan dan pilihan anda terbongkar. Malangnya masih ada lagi orang yang takut untuk mengundi. Jadi jangan panik. Bawa bertenang dan buang undi.

Tokoh penyatuan Jerman, Otto von Bismark pernah berkata politik itu ‘seni kemungkinan’ (art of possible). Tetapi ada perkara yang tidak boleh dimungkinkan oleh politik. Ini negara berperlembagaan, bukan negara mengikut hukum rimba.

Kita semakin matang. Kita semakin sedar akan hak-hak kita. Kita semakin memahami peranan politik dalam hidup kita. Kita semakin mengenali erti demokrasi yang sebenar. Kita sentiasa dahagakan maklumat tentang pilihan raya; manifesto, calon, jadual kempen dan lain-lain lagi. Pertukaran maklumat, lebih-lebih lagi melalui media sosial, berlaku dengan pantas dan luas.

Dalam keghairahan kita menerima dan memberi maklumat yang disalurkan melalui internet, jangan sekali-kali kita percaya membuta-tuli apa yang kita baca. Sentiasa kritikal, sentiasa menyoal dan cuba cari jawapannya dengan sendiri. Kita harus menilai yang mana auta dan fakta.

Jadilah pengundi bijak tidak kiralah parti dan calon mana sekalipun yang anda undi. Asalkan bukan dipengaruhi dongeng tidak berlandaskan Perlembagaan.

*Penulis seorang peguam muda yang mengamal undang-undang sebagai rakan kongsi di sebuah firma guaman di Kuala Lumpur.

No comments: