Share |

Saturday, 16 March 2013

Himpunan ‘Anwar dalang Lahad Datu’ depan Masjid Negara


Antara NGO terbabit Pertubuhan Peribumi Perkasa, Jalur Tiga, Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim serta Jaringan Melayu Malaysia.

KUALA LUMPUR: Cubaan mengaitkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai dalang krisis keselamatan di Lahad Datu, Sabah secara terbuka bermula dengan himpunan di Masjid Negara tengahari tadi.

Siri jelajah ‘Anwar Dalang Lahad Datu’ anjuran badan bukan kerajaan (NGO) berhaluan kanan itu bermatlamat meyakinkan orang awam supaya menolak Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum (PRU) 13 kerana menjadi punca pencerobohan ‘Sultan Sulu’ di Lahad Datu.

Antara NGO terbabit Pertubuhan Peribumi Perkasa (Perkasa), Jalur Tiga (Jati), Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (Tibai) serta Jaringan Melayu Malaysia (JMM).

Selain Anwar, beberapa pemimpin Pakatan termasuk Naib Presiden PKR Tian Chua juga dibidas kerana kenyataannya mengaitkan Umno dengan insiden tembakan antara anggota keselamatan dengan kumpulan penceroboh.

“Kita takkan biarkan Tian Chua berkuasa…lepas PRU kita humban dia dalam longkang,” laung Mursyidul Am Tibai Zahid Mat Arip dihadapan kira-kira 100 orang selepas menunaikan solat Jumaat.

Menjadikan lori sebagai pentas bergerak untuk ceramah, nyanyian lagu ‘Negaraku’ serta bendera Jalur Gemilang turut diagihkan kepada umum.

Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali ketika berucap mendesak supaya segera diwujudkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai isu Lahad Datu.

Katanya, semua pihak termasuk anggota keselamatan dan pembangkang perlu dipanggil membantu siasatan.

`Wujudkan kertas putih’

“Kita mesti desak wujudkan kertas putih untk hilang keraguan siapa dalang di sebalik insiden Lahad Datu.

“Kalau tak berbagai tuduhan akan terus berlaku dan takkan selesaikan masalah,” katanya.

Beliau turut mendakwa suasana politik Malaysia yang mengalami pelbagai masalah dalaman antara punca penceroboh ‘Sultan Sulu’ berani masuk ke Sabah.

“Bukan saja kumpulan kecil Sulu itu, malah penjenayah lain juga akan berani menangguk di air keruh kerana masalah dalaman yang timbul di negara ini,” katanya.

Himpunan itu berakhir sejam kemudian selepas Presiden Jati Datuk Dr Hasan Ali mengetuai doa memohon keselamatan rakyat di Lahad Datu serta buat wira negara yang gugur mempertahankan negara.

Orang ramai juga dilihat meninggalkan perkarangan masjid tanpa sebarang provokasi sambil diperhatikan kira-kira 20 anggota polis yang mengawal keadaan termasuk lalu lintas.

No comments: