Share |

Monday 25 February 2013

Dakwah untuk Ridhuan Tee

Seruan untuk Ridhuan Tee mengikuti dakwah dalam Islam timbul ekoran dari penulisan artikel beliau beliau bertajuk Kesabaran umat Islam ada hadnya

PETALING JAYA: Perunding media, motivasi dan penerbitan Uthaya Sankar SB menyeru agar Profesor Madya di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dan kolumnis akhbar Sinar Harian, Dr Ridhuan Tee Abdullah didakwah.

“Sepertimana dijelaskan oleh Dr Kamariah Kamarudin dalam buku kajian ilmiah berjudul Takmilah dalam Novel Melayu terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka pada 2011, dakwah sebenar dalam Islam bermula dengan dakwah terhadap ahli keluarga, terhadap orang Islam (dalam masyarakat) dan terhadap masyarakat luar (beragama Islam); sebelum memikirkan soal dakwah terhadap orang “Bukan Islam”.

“Islam sesungguhnya agama yang indah dan menyeru ke arah perpaduan, keamanan dan sikap bertolak ansur,” kata Uthaya dalam satu kenyataan media pada hari ini.

Ridhuan Tee atau Tee Chuan Seng juga sangat aktif di dalam kegiatan berdakwah.

Seruan itu dibuat ekoran artikel Ridhuan bertajuk “Kesabaran umat Islam ada had” yang diterbitkan pada 18 Februari.

Artikel tersebut mengkritik tindakan MIC yang menggesa kerajaan membenarkan penayangan filem Tamil bertajuk Vishwaroopam. Ridhuan di dalam artikel tersebut turut mengkritik sambutan perayaan Thaipusam sebagai “Lautan manusia satu warna berhimpun, seolah-olah tidak ada warna lain lagi di negara ini.”

Artikel tersebut turut mendakwa bahawa terdapat peningkatan bilangan kuil Hindu sejak tahun 2008.

Ekoran itu, Ridhuan telah dikecam oleh ahli politik PKR S Jayathas mendakwa Ridhuan cuba menimbulkan huru-hara.

Pengarah strategi MIC S Vell Paari pula melabelkan Ridhuan sebagai Melayu Jalan Petaling kerana Ridhuan ialah orang Cina beragama Islam. Vell Paari juga mahu Menteri Dalam Negeri Datuk Hishamuddin Hussein mengambil tindakan terhadao Ridhuan.

Ketika Ridhuan dihubungi, beliau memilih untuk berdiam diri dan berkata bahawa beliau bertanggungjawab ke atas penulisannya.

Beberapa pertubuhan bukan kerajaan telah berdemonstrasi di hadapan Sinar Harian pada hari Jumaat.

Penasihat editorial akhbar Sinar Harian, Datuk Abdul Jalil Ali dilaporkan memohon maaf kepada kaum India beragama Hindu atas penyiaran rencana tulisan Ridhuan.

“Saya tidak berhasrat meminta akhbar Sinar Harian atau mana-mana penerbitan lain serta mana-mana organisasi lain mengambil tindakan “menghukum” Chuan Seng dengan memulaukannya.

“Sebaliknya, tindakan Chuan Seng sepatutnya menjadi suatu “pengajaran” kepada pihak terbabit supaya berhati-hati dengan golongan “ultra kiasu” (mengulangi istilah yang pada asalnya digunakan oleh Chuan Seng terhadap kaum India dan Cina dalam tulisannya) yang menggugatkan keamanan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama di Malaysia,” tambah Uthaya Sankar di dalam kenyataannya.

No comments: