Share |

Saturday, 26 January 2013

Perkasa buat laporan terhadap peguam

Siti Zabedah pada 23 Januari lalu telah membuat laporan polis terhadap Ibrahim mengatakan Ahli Parlimen Pasir Mas itu menyentuh Bible dalam semua bahasa termasuk bahasa Melayu.

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) hari ini membuat laporan polis terhadap peguam hak asasi manusia, Siti Zabedah Kasim kerana membuat laporan palsu mengenai kenyataan Presidennya Datuk Ibrahim Ali berhubung isu bakar kitab Bible.

Laporan dibuat Naib Ketua Wira Perkasa Nurul Izham Nurul Anuar di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini petang tadi.

Nurul Izham dalam laporannya berkata, Siti Zabedah pada 23 Januari lalu telah membuat laporan polis terhadap Ibrahim mengatakan Ahli Parlimen Pasir Mas itu menyentuh Bible dalam semua bahasa termasuk kitab berbahasa Melayu, seperti yang dirujuknya dalam laporan berita FreeMalaysiaToday (FMT).

“Saya percaya Zabedah Kasim merujuk kepada laporan media sahaja tanpa mengetahui apa yang sebenarnya diperkatakan oleh Datuk Ibrahim semasa sidang media di Pulau Pinang pada 19 Januari lalu,” katanya dalam laporan polis tersebut.

Menurut Nurul Izham, beliau telah menghubungi Ibrahim tentang kesahihan dakwaan tersebut namun dinafikan Ibrahim dan mempertahankan “Bible Bahasa Melayu yang terdapat perkataan Allah dan tulisan jawi” itu adalah jelas.

“Ibrahim Ali tak pernah menyebut Bible semua bahasa termasuk edisi Melayu, dengan itu saya berpendapat laporan polis tersebut adalah tidak betanggungjawab dan satu penganiayaan terahadap Ibrahim dan boleh dianggap sebagai satu fitnah terhadap beliau,” katanya.

Sehubungan itu beliau berharap polis dapat menyiasat hal ini dan bertindak terhada Siti Zabedah mengikut undang-undang yang ada supaya menjadi pengajaran kepada masyarakat agar tidak sewenang-wenangnya membuat laporan polis yang boleh menganiaya pihak lain.

Sementara itu, orang ramai diminta supaya tidak mempercayai khabar angin kononnya ada acara membakar Bible versi bahasa Melayu di Pulau Pinang.

Ketua Polis Negeri Datuk Abdul Rahim Hanafi semalam dilaporkan berkata, berikutan isu itu polis menerima laporan seorang paderi menemui risalah bertulis ‘jom bakar…pesta bakar Bible Melayu demi masa depan cucu kita’ yang diletak di dalam peti surat di sebuah gereja 20 Jan lepas.

“Kita minta jangan ada pihak yang percaya dan mensensasikan isu ini kerana ia boleh mengugat ketenteraman awam dan mengundang perpecahan masyarakat,” katanya dipetik Bernama.

Katanya, isu itu disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebut perkataan berniat melukakan perasaan agama seseorang yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

No comments: