Share |

Friday 25 January 2013

Kerajaan Selangor batal projek kondo Batu Caves

Keputusan dibuat demi menjaga keselamatan orang ramai dan memelihara alam sekitar, kata Menteri Besar.

PETALING JAYA: Kerajaan Selangor hari ini membatalkan projek kondominium 26 tingkat di Batu Caves, dekat ini.

Dengan keputusan itu, kebenaran merancang yang telah diberikan kepada Dolomite Properties Sdn Bhd untuk pembinaan kondominium Dolomite Park Avenue setinggi 26 tingkat dibatalkan.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan pembatalan tersebut dalam satu kenyataan media petang ini.

“Jawankuasa Bebas bagi mengkaji dan menilai pembangunan di Batu Caves dan kawasan sekitarnya telah mengadakan mesyuarat yang pertama pada Selasa lalu.

“Dalam mesyuarat itu, Jabatan Perancang Bandar dan Desa telah membentangkan secara terperinci status pembinaan struktur dan bangunan di Batu Caves serta tahap keselamatannya.

“Selepas mendengar penjelasan itu, saya membuat keputusan supaya Majlis Perbandaran Selayang (MPS) membatalkan kebenaran merancang yang telah diberikan kepada Dolomite Properties Sdn Bhd untuk pembinaan kondominium Dolomite Park Avenue setinggi 26 tingkat.

“Keputusan ini dibuat demi menjaga keselamatan orang ramai dan memelihara alam sekitar.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana kesediaan untuk membantu kerajaan negeri mencari jalan penyelesaian jangka panjang terhadap isu pembangunan di Batu Caves dan sekitarnya,” kata Abdul Khalid dalam kenyataan tersebut.

Beliau amat berharap keputusan ini diterima positif oleh semua pihak kerana ia melibatkan keselamatan orang ramai.

Beliau menambah, kerajaan Selangor tidak berkompromi dengan mana-mana projek pembangunan yang boleh mengancam keselamatan rakyat.

Kerajaan Selangor, kata Menteri Besar menyokong sebarang projek pembangunan untuk kesejahteraan rakyat tetapi ia perlu dirancang dengan teliti, mengikut peraturan dan tidak membahayakan keselamatan rakyat.

No comments: