Share |

Thursday 13 December 2012

Roboh tempat suci: MPS sedia laporan

Dalam hal ini kita kena beri peluang kepada PBT tersebut untuk menjelaskan tindakan mereka," kata MB Selangor.

SHAH ALAM: Kajian terperinci berhubung isu perobohan tempat suci (shrine) dalam perkarangan sebuah rumah di Sepang baru-baru ini sedang dijalankan oleh Majlis Perbandaran Sepang (MPS).

“Tidak lama lagi kita akan terima laporan atas kajian yang dibuat itu. Dalam hal ini kita kena beri peluang kepada PBT tersebut untuk menjelaskan tindakan mereka,” kata Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau berkata demikian ketika diminta memberi pandangan berhubung isu yang menimbulkan kontroversi itu dalam sidang media di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini hari ini.

Pada Sabtu lalu, ratusan penganut agama Hindu mengadakan tunjuk perasaan di luar bangunan SUK bagi membantah terhadap kerajaan negeri Selangor yang didakwa ‘merestui’ tindakan merobohkan tempat suci itu.

Kesan buruk penswastaan

Sementara itu, mengulas mengenai laporan media berhubung analisa syarikat antarabangsa, JP Morgan bahawa prestasi ekonomi Malaysia akan baik sekiranya Barisan Nasional terus menguasai Kerajaan Persekutuan, beliau berkata ia hanya percubaan untuk menakut-nakutkan rakyat.

Beliau menegur syarikat tersebut supaya lebih berwaspada dengan analisa tersebut agar tidak dilihat sebagai menyebelahi mana-mana pihak.

“Antara faktor-faktor yang tidak diambil kira dalam analisa yang sedia ada adalah kesan buruk penswastaan di Malaysia, yang semakin membebankan rakyat dengan kerugian tetapi mengagihkan keuntungan hanya kepada pihak swasta.

“Kejadian ini semakin meningkat di bawah Kerajaan Persekutuan di mana rakyat berhadapan risiko kewangan tetapi hanya syarikat konsesi yang menikmati keuntungan.

“Kepercayaan bahawa perubahan politik serta reformasi kerajaan Persekutuan akan mengakibatkan kemelut ekonomi adalah tidak wajar,” katanya.

Adun Permatang berbohong
Mengenai isu asrama Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis), Abdul Khalid mendakwa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang dari Barisan Nasional, Sulaiman Razak bercakap bohong.

Ujar beliau, perjanjian pembinaan dan penswastaan asrama adalah antara syarikat milik Adun Permatang dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais). Oleh itu kuasa untuk memutuskan sebarang keputusan dalam kolej itu bukan dari kerajaan Selangor.

Beliau menasihatkan agar Kuis dan Mais melakukan penyusunan semula untuk mengurangkan beban bayaran asrama oleh para pelajar.

Adalah dipercayai syarikat milik Sulaiman telah menaikkan (mark-up) kos pembinaan bangunan asrama terlalu tinggi sehingga bayaran sewa asrama menjadi begitu mahal dan membebankan para pelajar.

No comments: