Share |

Friday 2 November 2012

PSM minta Ketua Polis NS ambil alih kes

Memorandum tersebut diterima oleh Pegawai Hal Ehwal India, ASP Alagaesan pada jam 12.30 tengahari tadi bagi pihak Ketua Polis Negeri Sembilan.

SEREMBAN: Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyerahkan memorandum kepada Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh meminta beliau dan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Polis Negeri Sembilan mengambil alih satu kes yang dikendalikan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Rembau.

Bagaimanapun memorandum tersebut diterima oleh Pegawai Hal Ehwal India, ASP Alagaesan, pada jam 12.30 tengahari tadi bagi pihak Ketua Polis Negeri Sembilan.

Menurut Setiausaha Agung PSM, S Arutchelvan, tindakan segera oleh Osman amat diperlukan kerana beberapa perkara atau insiden yang berlaku di IPD Rembau baru-baru ini.

Perkara tesebut berlaku rentetan daripada satu insiden pergaduhan di antara 12 lelaki daripada keluarga yang sama dengan empat orang lelaki yang tidak dikenali di hadapan rumah keluarga tersebut pada 20 Oktober lalu.

“Kami mendapati bahawa segelintir anggota polis Rembau telah menjalankan tugasnya dengan sikap yang tidak profesional dan beretika serta menjalankan tugasnya dengan menanam sikap dengki dan membalas dendam terhadap Setiausaha PSM Cawangan Seremban, S Tinagaran.

“Berdasarkan kenyataan-kenyataan yang diberikan oleh beberapa anggota keluarga yang ditahan dan beberapa anggota polis, bahawa memang ada unsur untuk menfitnah dan memangsakan Tinagaran.

“Kami juga mendapati siasatan yang dijalankan adalah hasil dari perasaan yang kurang memuaskan dan dengki serta membuat kesimpulan bahawa semua tahanan (12 ahli keluarga) ada kaitan dengan kumpulan gangster.

“Kami mahu Ketua Polis menyiasat kerana kesemua 12 ahli keluarga yang ditahan tidak ada rekod jenayah atau didakwa di mana-mana mahkamah.

“Kami menyeru kepada Ketua Polis supaya membentuk satu pasukan baru di bawah beliau kerana kami telah hilang keyakinan kepada IPD Rembau. Mereka (12 ahli keluarga) ini merupakan mangsa kepada provokasi tujuh lelaki yang tidak dikenali itu,” kata Arutchelvan.

Arutchelvan berkata Tinagaran merupakan salah seorang yang mempunyai kaitan kekeluargaan dengan 12 lelaki yang ditahan dan beliau pergi ke IPD Rembau untuk mengetahui status tahanan mereka.

Arutchelvan turut mengutarakan insiden salah guna kuasa polis dan penyiasatan yang tidak profesional apabila membuat penahanan semula (tukar gari) ke atas M Sharvin Raj dan K Jakan, di mana polis Tampin juga mengatakan bahawa mereka berdua tidak ada kes.

Layanan buruk terhadap tahanan

“Penahanan itu sengaja dibuat dan ini mencabul Hak Perlembagaan Perkara 5. Malah ada tahanan tidak diberi rawatan perubatan apabila tahanan mengadu sakit dan ada tahanan dipukul apabila batuk.

“Menampar dan menendang seorang tahanan bawah umur S Mathuraiweeran, 17 tahun dan menggari bersama tahanan lain hanya untuk memaksanya mengaku terlibat dengan kumpulan gangster.

“Ada juga ahli keluarga yang sekadar pergi ke balai polis untuk mengetahui perkembangan kes turut ditahan”, katanya.

Sebelum itu seramai tujuh ahli keluarga daripada 12 ahli keluarga tersebut membuat laporan polis dan kandungan laporan polis itu menjelaskan kronologi insiden pergaduhan yang berlaku pada 20 Oktober di Taman Koperasi, Pedas, Rembau.

“Pada hari Sabtu 20 Oktober lalu, keluarga kami membuat kenduri untuk bayi yang baru lahir mengikut tradisi dan adat agama Hindu.

“Lebih kurang jam 12.30 pagi, dua remaja lelaki menaiki sebuah motorsikal membunyikan enjin motorsikal dengan kuat. Abang saya menegur mereka kerana ada empat bayi sedang tidur di dalam rumah.

“Tidak lama selepas itu dua lelaki itu datang dengan beberapa lelaki lain dan berlaku pergaduhan di antara mereka dan ahli keluarga kami.

“Tidak beberapa lama kemudian polis tiba dan menahan empat lelaki yang menjadi punca pergaduhan. Kami (12 ahli keluarga) turut mengikuti polis ke IPD Rembau tetapi kami juga ditahan.

Justeru itu Arutchelvam berharap Ketua Polis Negeri Sembilan membuat penilaian semula kes terhadap 12 ahli keluarga yang ditahan selama tiga hari atas satu kesalahan yang tidak masuk akal dan tanpa bukti yang kukuh dan munasabah.

No comments: