Share |

Friday 9 November 2012

Nurul Izzah buat laporan Jais esok

Aduan itu termasuk segala kenyataan dan dakwaan yang dilemparkan terhadapnya berdasarkan laporan Utusan Malaysia yang menyentuh kebebasan memilih agama.

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar akan membuat aduan di Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di Shah Alam esok terhadap kenyataannya yang telah diputarbelitkan akhbar Utusan Malaysia.

Nurul Izzah berkata, aduan itu termasuk segala kenyataan dan dakwaan yang dilemparkan terhadapnya berdasarkan laporan Utusan Malaysia yang menyentuh kebebasan memilih agama.

“Saya sudah berhubung dengan Pengarah Jais (Datuk Marzuki Hussin) esok 11 pagi untuk mengemukakan aduan terhadap laporan yang menyerang dan memfitnah saya.

“Segala dakwaan yang disebut itu berasaskan laporan Utusan dan bukannya (kenyataan) saya,” katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen hari ini.

Manakala proses dokumentasi untuk memfailkan saman terhadap Utusan Malaysia dan Berita Harian akan dilakukan dalam masa terdekat.

Naib Presiden PKR pada forum ‘Negara Islam: Versi Mana; Siapa Bertanggungjawab’ pada Sabtu lalu dilaporkan berkata rakyat tidak seharusnya dipaksa mengamalkan agama tertentu dan ia juga terpakai secara sama rata kepada orang Melayu.

Kemudian Utusan Malaysia pada Isnin memetik dan menyiarkan semula laporan tersebut, namun menggambarkan kenyataan Nurul Izzah seakan-akan menyokong gejala murtad.

Laporan Utusan itu kemudiannya mendapat reaksi negatif dan kecaman daripada pelbagai pihak.

Malah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah melalui kenyataan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) kelmarin turut terkejut dan kecewa dengan kenyataan itu.

No comments: