Share |

Tuesday 6 November 2012

Mengapa soal saya mengenai Suaram?

Pengarah Eksekutif Empower, Maria Chin Abdullah percaya ia merupakan satu pola gangguan baru oleh pihak berkuasa.

PETALING JAYA: Pengarah Eksekutif Empower, Maria Chin Abdullah hairan dengan tindakan polis yang mahu menyoal beliau berikutan satu laporan terhadap NGO hak asasi manusia, Suara Rakyat Malaysia (Suaram).

“Saya tidak faham…..apa kaitan saya dengan Suaram kerana saya bukan ahli mahupun pengasas Suaram. Ia sangat mengelirukan,” kata beliau yang juga merupakan ahli jawatankuasa eksekutif Bersih 2.0.

Maria berkata demikian sebagai reaksi kepada surat yang diterima beliau hari ini yang ditandatangani oleh Ketua Penolong Pengarah (Pematuhan) Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS), ASP Arsad Kamaruddin.

Surat itu meminta Maria hadir untuk disoal siasat oleh pihak polis di bawah sekyen 111 dan 112 Kanun Prosedur Jenayah berikutan laporan dibuat terhadap dirinya di Muar.

Beliau perlu hadir pada hari Rabu ini jam 10 pagi di Bahagian Pematuhan, ROS, Putrajaya untuk disoal siasat tetapi beliau hanya akan hadir pada hari Jumaat.

Maria turut menyoal kenapa hanya dirinya sahaja yang dipanggil untuk disoal siasat.

“Sebagai NGO, Empower memberikan sokongan solidariti terhadap usaha mengenai hak asasi manusia yang dijalankan oleh Suaram.

“Saya percaya bahawa mereka menggunakan jaringan yang lebih luas untuk mengganggu NGO,” kata Maria, sambil merujuk kepada gangguan yang dihadapi ahli jawatan kuasa Bersih 2.0 yang lain ketika hendak pergi ke luar negara.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Suaram, E Nalini mengecam tindakan ROS itu.

“Tindakan mereka berniat jahat kerana Suaram didaftarkan di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia, bukan ROS. Mereka menyalah guna kuasa,” kata Nalini.

No comments: