Share |

Monday 8 October 2012

Perolehan Scorpene tidak dikemuka untuk tujuan audit- Azan

(Oleh: Masdar Wahid)

KUALA LUMPUR 7 Oktober: Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail berkata, perolehan kapal selam Scorpene, pesawat Sukhoi dan kelengkapan ketenteraan lain, tidak dikemuka untuk tujuan audit.

“Tugas Jabatan Audit Negara bukan menyiasat penyelewengan, tetapi menegur sekiranya perolehan tidak mengikut prosedur sepatutnya.

“JAN akan mengaudit secara ‘random’ apa yang dilapor kepada mereka. Dalam isu pembelian Scorpene, cara membuat pembayaran tidak dikemuka dalam penelitian audit. Sepatutnya penelitian ini dibuat SPRM,” ujarnya.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa pembelian Scorpene mengikut prosedur perundangan seperti yang telah diperjelaskan Ketua Audit Negara.

Azan dalam pada itu mengesyaki laporan audit sengaja lewat dikemuka ke parlimen, sebagai usaha untuk ‘melindungi sesuat’u.

“Saya mengesyaki, oleh kerana tahun ini tahun kedua ia tergendala untuk diserah kepada parlimen, ada antara laporan yang ‘dikeluarkan’ daripada dibentangkan di parlimen,” ujarnya.

Justeru, beliau menggesa Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambin Buang, dipanggil ke parlimen untuk memberi penjelasan.

“Setiap kali parlimen bersidang untuk membentangkan belanjawan, Ketua Audit Negara perlu hadir ke parlimen.

“Kita tak mahu jabatan audit dan ketua audit negara dikambinghitam oleh kerajaan atau dipersalahkan atas kelewatan laporan audit,” ujarnya yang menegaskan kelewatan itu juga mencemar reputasi Jabatan Audit Negara.

Sementara itu, Ahli Parlimen Machang, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, isu pokok dalam skandal pembelian Scorpene adalah integriti dan sistem Perolehan Kementerian Pertahanan.

Katanya, hingga kini kerajaan tidak telus menjawab soalan dibangkit Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan Pakatan Rakyat berhubung komisen dalam urusniaga tersebut.

“Rakyat hanya mengetahui isu ini selepas ia didedah NGO Suaram, melibatkan kerugian wang rakyat sebanyak RM7 bilion dan ini satu jumlah yang sangat besar.

“Sebab itu pentadbiran Datuk Seri Najib Razak harus menjawabnya dengan jujur dan telus termasuk persoalan melibatkan harga, keupayaan kapal selam dan bayaran komisen luar biasa yang dikait dengan beliau semasa menjadi Menteri Pertahanan,” katanya.

No comments: