Share |

Friday 19 October 2012

Pembeli rumah tuntut geran rumah

Selain daripada itu pembeli juga tidak puas hati apabila harga rumah dinaikkan tanpa dimaklumkan kepada pembeli.

SENAWANG: Lebih 30 pembeli rumah pangsa di Taman Sri Mawar di sini kecewa dengan Kerajaan Negeri Sembilan kerana kegagalan kerajaan negeri menyerahkan geran hak milik rumah walaupun telah selesai membuat pembayaran.

Selain daripada itu pembeli juga tidak puas hati apabila harga rumah dinaikkan tanpa dimaklumkan kepada pembeli.

Pembeli rumah Mohd Nawi Ibrahim, 55, berkata beliau membeli rumah pangsa secara sewa beli pada tahun 1991.

“Dalam surat perjanjian rumah ini berharga RM25,000. Saya membayar ansuran sebanyak RM138.22 selama 20 tahun.

“Bagaimanapun beberapa tahun lepas secara tiba-tiba saya mendapati harga rumah dinaikkan menjadi RM33,000. Kami tidak dimaklumkan dan saya hanya mendapat tahu ketika membuat pembayaran ansuran bulanan.

“Walaupun tidak puas hati atas kenaikan harga rumah tanpa alasan kukuh, saya tetap membayar ansuran bulanan dan mengikut kiraan ansuran saya sejak 1991, sepatutnya hutang saya sudah habis.

“Saya ada menuntut geran hak milik tetapi pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri memberi alasan geran hanya akan diberi selepas kesemua 48 pembeli rumah selesai membuat pembayaran.

“Ini tidak adil kepada pembeli rumah seperti saya yang membayar ansuran secara tetap dan sudah melangsaikan keseluruhan kos pinjaman rumah tersebut.

“Bayangkan ada beberapa pembeli rumah (sewa beli) di blok ini yang baru setahun tinggal. Tak kan saya kena tunggu dua puluh tahun lagi (tunggu pembeli ini melangsaikan pembayaran penuh) untuk dapatkan geran hak milik saya? Sedangkan saya tidak ada sumber pendapatan tetap lagi kerana telah bersara. Ini tidak adil kepada pembeli rumah yang sudah melangsaikan pembayaran secara sepenuhnya,” kata Mohd Nawi.

S Xavier , 42, turut menyatakan perasaan kecewa beliau apabila Kerajaan Negeri menaikkan harga rumah yang asalnya RM25,000 kepada RM33,000 tanpa perbincangan dengan pembeli rumah.

“Saya juga tidak puas hati dengan alasan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri yang berkata geran hak milik hanya akan diberi kepada apabila semua pembeli rumah selesai melunaskan kos rumah tersebut.

Tunggu semua bayar

“Bayangkan ada 48 pembeli rumah dalam satu blok. Logikkah kalau saya kena tunggu kesemua 48 pembeli rumah ini selesai membuat pembayaran untuk menerima geran hak milik? Bagaimana dengan keadaan ada kes pembeli rumah lari begitu sahaja?

“Apakah kerana ada pembeli rumah yang liat tidak mahu membayar ansuran maka pembeli rumah yang selesai pembayaran jadi mangsa?

Xavier berkata ada tujuh blok rumah pangsa dan setiap blok mempunyai empat tingkat dengan 48 unit rumah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Senawang dari DAP, P Gunasekaran yang mengatur lawatan media ke rumah pangsa untuk menemui pembeli rumah tersebut mendesak agar Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan turun padang dan bertemu dengan pembeli rumah ini untuk mengetahui situasi sebenar yang membelenggu pembeli rumah ini.

“Sepatutnya geran hak milik dikeluarkan dulu kepada pembeli rumah yang telah melunaskan pinjaman rumah pangsa tersebut.

“Ini juga secara tidak langsung memberi motivasi kepada pembeli rumah melunaskan pinjaman rumah pangsa tersebut dengan secepat mungkin.

“Jika hendak menunggu semua pembeli rumah lunaskan bayaran, baru hendak beri geran hak milik, ini memang tidak adil,” ujar Gunasekaran.

Sementara itu berlaku sedikit kekecohan apabila seorang wanita yang mendakwa mewakili Umno di kawasan rumah pangsa tersebut mempertikaikan kehadiran Gunasekaran di rumah pangsa tersebut.

Wanita tersebut kedengaran berkata kepada Gunasekaran bahawa Gunasekaran tidak sepatutnya masuk ke kawasan rumah pangsa itu dengan alasan kerajaan sudah ganti bumbung rumah dan mengecat bangunan rumah pangsa tersebut.

Gunasekaran pula berkata beliau adalah wakil rakyat untuk kawasan itu dan beliau datang pun atas aduan dan jemputan pembeli rumah yang tidak puas hati dengan Kerajaan Negeri.

Gunasekaran memperjelaskan kepada wanita itu bahawa pembeli rumah pangsa Sri Mawar mengadu kepada beliau kerana masih tidak dapat geran hak milik walaupun sudah selesai membuat bayaran balik pinjaman membeli rumah.

“Tak apa, awak buat kerja awak, saya buat kerja saya,” kata Gunasekaran kepada wanita itu.

No comments: