Share |

Wednesday 31 October 2012

Negeri Sembilan semakin lemah di bawah BN

Dari memiliki 'aset' berjumlah RM23.40 juta pada tahun 2010, aset dalam bentuk saham tersebut cuma tinggal RM590,000 sahaja menjelang tahun 2011.

PETALING JAYA: Laporan Audit Negeri Sembilan 2011 telah membongkar banyak kelemahan dan ini menunjukkan prestasi pentadbiran negeri di bawah Umno-Barisan Nasional (BN) kini semakin lemah.

Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin dalam satu kenyataan media berkata pihaknya memandang serius perkara ini.

Pada tahun 2010 katanya, kerajaan Negeri Sembilan memiliki ‘aset’ berjumlah RM23.40 juta dalam bentuk saham di beberapa syarikat seperti Telekom, Tenaga Nasional Berhad, Malaysia Airport tetapi menjelang tahun 2011 pegangan tersebut cuma tinggal RM590,000 sahaja.

“Media propaganda Umno-BN menuduh kerajaan negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang mengenepikan pembangunan Islam namun semua
ini berjaya dipatahkan dengan peningkatan setiap tahun peruntukan Hal Ehwal Agama Islam.

“Dari peruntukan sebanyak RM25.7 juta pada tahun 2008 ketika di bawah BN, kini kerajaan negeri Pulau Pinang di bawah Pakatan memperuntukan sebanyak RM64.03 juta pada 2012 untuk Hal Ehwal Islam.

“Berbanding di Negeri Sembilan di bawah pemerintahan Umno-BN peruntukan bagi hal ehwal Islam menurun dari RM7.15 juta pada tahun 2010 menurun kepada RM5.63 juta pada 2011,” jelas beliau yang juga dikenali sebagai CheguBard.

Menurut beliau, pengurangan serius ini akan mengakibatkan banyak program pembangunan dan keagamaan telah terbantut. Pengurangan bajet Hal Ehwal Agama ini berkaitan dengan kelembapan ekonomi dan berkurangan pendapatan kerajaan negeri.

Selain itu katanya, peruntukan pembangunan agensi kerajaan bawah kerajaan negeri dari RM85 juta jelas berkurangan kepada RM82.49 juta yang akan memberi kesan secara langsung terhadap keselesaan hidup rakyat.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri jelas makin hilang kemampuan untuk mengumpul pendapatan negeri.

“Pendapatan kerajaan negeri dari hasil utama seperti cukai tanah, terimaan dari agensi, perkhidmatan, perolehan dari segi lesen dan permit dari tahun 2010 berjumlah RM326.99 juta menurun dengan serius kepada RM280.11 juta pada 2011.

Katanya, ketika Laporan Ketua Audit Negara 2011 memuji negeri-negeri Pakatan seperti Selangor dan Kelantan, kerajaan Negeri Sembilan di bawah Umno-BN terus ditimpa kelemahan pentadbiran, hanya dapat terus bernafas kerana berhutang dengan kerajaan pusat.

“Selangor walaupun memberikan air percuma dan perbagai bentuk kebajikan pada rakyat namun masih mampu mencatat lebihan hasil RM60 juta dan Kelantan dalam keadaan kerajaan pusat menafikan banyak haknya tetapi dapat menambah aset sebanyak RM90 juta,” katanya.

CheguBard berkata banyak lagi kelemahan kerajaan negeri, kalau hendak dibongkar satu persatu seperti dalam isu perumahan dan kerugian yang dialami YNS Management Sdn Bhd.

Beliau mengajak rakyat berfikir dari segi rekod empat tahun berturut-turut pencapaian dan rekod pentadbiran negeri di bawah Pakatan cemerlang berbanding pentadbiran Negeri Sembilan di bawah Umno-BN.

No comments: