Share |

Tuesday 2 October 2012

Masalah perumahan: Peneroka bandar terpinggir

Kira-kira 200 wakil penduduk berdemonstrasi sebelum menyerahkan memorandum yang mengandungi enam tuntutan.

KUALA LUMPUR: Kira-kira 200 wakil penduduk seluruh negara hari ini hadir berdemonstrasi aman di hadapan bangunan Parlimen di sini pagi tadi bagi menuntut kerajaan menyelesaikan isu hak milik rumah peneroka bandar dan tanah masyarakat Orang Asal.

Kumpulan tersebut, Jawatankuasa Bertindak Taman Permata Dengkil, Jawatankuasa Bertindak Ladang Bukit Jalil, termasuk wakil masyarakat Orang Asal Kelantan berdemonstrasi kira-kira 15 minit sebelum menyerahkan memorandum kepada Ahli Parlimen Pakatan Rakyat Nurul Izzah Anwar.

Memorandum itu mengandungi enam tuntutan, antaranya menuntut supaya kerajaan menyediakan perumahan mampu milik yang selesa, cukup ruang dan kemudahan yang perlu, menggubal undang-undang Skim Perumahan Sendiri Pekerja Ladang, serta hentikan pengusiran paksa dan mengiktiraf hak peneroka bandar.

Selain itu, mereka juga menuntut kerajaan supaya mengambil alih penyelenggaraan flat kos rendah dan sederhana di seluruh Malaysia dan mengiktiraf tanah adat Orang Asal serta hentikan segera rampasan tanah adat.

“Kami juga mendesak supaya kerajaan menghentikan ancaman kepada habitat penduduk dengan projek seperti Lynas, Lombong Emas di Bukit Koman dan Projek Petrokimia di Pengerang,” memorandum itu dipetik.

Tuntutan itu dibuat sempena Hari Habitat Sedunia 2012 yang disambut pada Isnin pertama bulan Oktober setiap tahun.

Tidak mampu

Sementara itu, Koordinator Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit) R Thevarajan berkata, 70 peratus rakyat Malaysia berpendapatan kurang
daripada RM3,500 sebulan tidak mampu memiliki rumah sendiri kerana kebanyakan rumah yang dibina adalah untuk kumpulan yang berpendapatan tinggi sahaja.

Beliau berkata, permintaan untuk rumah kos rendah sejak Rancangan Malaysia Ketiga melebihi penawaran apabila isu perumahan digunakan sebagai alat spekulasi untuk memperkayakan kaum kapitalis dan ini direstui kerajaan.

Akibat harga rumah melambung tinggi masyarakat miskin bandar tidak dapat memiliki rumah, manakala peneroka bandar pula disumbat ke dalam flat kos rendah bagaikan sarang burung yang mengundang pelbagai masalah sosio-ekonomi.

Pekerja ladang pula dihalau dari ladang tanpa sebarang perumahan alternatif sedangkan rumah pemimpin pula bagaikan istana, kata Thevarajan.

“Bagaimana rakyat akan percaya yang masalah perumahan dititikberatkan apabila pemimpin terus membina rumah mereka bagai istana manakala tiada polisi konkrit untuk menyelesaikan rumah rakyat.

“Sehingga hari ini tidak ada satu akta atau undang-udang yang melindungi pekerja ladang dan menjamin hak perumahan,” katanya.

Hidup daif


Sementara itu, Wakil Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan Kampung Jias di Gua Musang Azmi Abdul berkata, masyarakat Orang Asal di sana masih tercicir daripada bantuan pendidikan, kesihatan dan ekonomi yang daif.

“Kami mahu lari keluar dari belenggu ini dan mahu menikmati keselesaan seperti masyarakat biasa,” katanya ketika ditemui.

Wakil penduduk Taman Permata Dengkil Kumaran Nagurusamy berkata, kebanyakan mereka penduduk asal ladang di Putrajaya kesal kerajaan tidak memberi pampasan perumahan sewajarnya.

“Kerajaan ambil tanah kami secara paksa pada tahun 1997 dan kami diusir dari ladang untuk pembangunan Putrajaya.

“Kami berkorban demi pembangunan negara tapi rumah kami retak dan mendap teruk setiap tahun.

“Baru-baru ini kerajaan bagi kami RM2.5 juta untuk baiki tapi kami tak mahu bantuan untuk baiki rumah. Kami nak rumah teres yang selesa,” luahnya.

No comments: