Share |

Monday 1 October 2012

Ibu bapa demo tuntut bangunan sekolah baru

Masalah utama dihadapi di SJKT Kuala Pilah ialah kawasan sekolah terlalu sempit, ruang bilik darjah sangat kecil dan tidak menepati skala luas (standard) sebuah bilik darjah.

KUALA PILAH: Hampir 200 ibu bapa dari Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Kuala Pilah, Negeri Sembilan menuntut kerajaan dengan segera memperuntukkan sebidang tanah untuk tujuan pembinaan sebuah bangunan sekolah yang baru.

Sejurus tamat waktu persekolahan pada pukul 12.30 tengahari semalam (Jumaat) ibu bapa kepada pelajar di sekolah tersebut berhimpun di padang di hadapan sekolah tersebut.

Mereka meluahkan perasaan tidak puas hati terhadap kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan, kerajaan negeri dan MIC negeri di atas kegagalan membina bangunan sekolah yang baru walaupun sebahagian dari peruntukkan untuk membina sekolah tersebut sudah ada.

Penasihat Alumni Bekas Murid SJKT Kuala Pilah, Kevin Karu memberitahu FMT bahawa SJKT Kuala Pilah dibuka pada tahun 1954 dengan keluasan kawasan sekolah hanya suku ekar.

“Masalah utama dihadapi di sekolah ini ialah kawasan sekolah ini terlalu sempit, ruang bilik darjah sangat kecil dan tidak menepati skala luas (standard) sebuah bilik darjah.

“Laluan di sekitar bangunan juga sekolah sempit dan gelap. Ini menyebabkan cahaya matahari sukar masuk terutama sekali bilik darjah dan laluan ke tandas serta pejabat sekolah.

“Tidak ada padang sekolah sebaliknya padang milik Majlis Daerah Kuala Pilah. Tidak ada tempat letak kereta khusus untuk guru dan kakitangan sekolah.

“Justeru itu sejak 10 tahun yang lalu; kami (bekas murid) dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) telah memohon kepada Pejabat

Pendidikan Kuala Pilah, Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan, Kementerian Pendidikan, Adun Kuala Pilah, Ahli Parlimen Kuala Pilah, Menteri Besar Negeri Sembilan, Pengerusi MIC Negeri Sembilan dan Menteri Sumber Manusia untuk mendapatkan sebidang tanah yang baru dan seterusnya mendirikan bangunan baru sekolah.

“Malangnya sehingga hari ini tidak ada apa-apa usaha yang dijalankan pihak kerajaan untuk membina sekolah yang baru,” kata Karu.

Syarikat swasta sumbang RM1.5 juta

Pengerusi PIBG SJKT Kuala Pilah, P Ganes pula berkata sekolah tersebut menerima peruntukkan RM1.5 juta daripada sebuah syarikat swasta Genting Berhad di bawah entiti ‘The Community Chest’ pada September 2011 untuk mendirikan bangunan sekolah yang baru.

“Tujuan penyampaian wang tersebut ialah untuk membantu mengurangkan beban kewangan pihak kerajaan dalam membina bangunan baru SJKT Kuala Pilah.

Bagaimanapun ‘The Community Chest’ bersedia memberikan bantuan kewangan tersebut dengan syarat sekolah perlu ada keluasan tanah yang mencukupi untuk pembinaan bangunan baru.

“Syarat kedua ialah Kementerian Pendidikan perlu menanggung kos pembinaan bangunan sekolah baru yang selebihnya,” katanya.

Ganes menambah baru-baru ini pihak Jabatan Penyelidikan dan Perancangan Pendidikan (EPRD) dari Kementerian Pendidikan datang ke SJKT Kuala Pilah dan memaklumkan beberapa perkara, di antaranya:

SJKT Kuala Pilah tidak akan dibina sekarang dan mungkin akan dibina pada tahun 2014 atau 2015.

SJKT Kuala Pilah tidak akan dibina di atas tapak yang sedia ada iaitu di mana SJKT terletak sekarang.

Sumbangan ‘The Community Chest’ RM1.5 juta tidak dibenarkan untuk digunakan bagi tujuan pembinaan bangunan baru SJKT Kuala Pilah.

Beliau memohon agar kerajaan mengambil langkah sewajarnya dengan segera memandangkan ada bilik darjah yang tidak selamat apabila hanya mempunyai satu pintu keluar masuk dan persekitaran bangunan sekolah itu sendiri tidak kondusif.

“Pernah sekali ular liar masuk ke kawasan bangunan sekolah ini berhampiran dengan tandas sekolah,” ujar Ganes.

Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Senawang dari DAP, P Gunasekaran.

No comments: