Share |

Thursday 4 October 2012

Anwar jemput peguam Scorpene beri taklimat di Parlimen

Taklimat itu bagi membolehkan ahli parlimen BN dan Pakatan Rakyat mendengar penjelasan mengenai dokumen hasil siasatan polis Perancis.

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menjemput peguam Perancis datang ke Malaysia untuk memberi taklimat kepada Ahli Parlimen berhubung kes pembelian dua kapal selam Scorpene yang sedang berjalan di mahkamah Perancis.

Naib Presiden PKR R Sivarasa berkata, taklimat itu bagi membolehkan ahli parlimen Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat mendengar penjelasan mengenai dokumen hasil siasatan polis Perancis kepada badan kehakiman negara itu.

Surat jemputan yang ditujukan kepada peguam mewakili Suaram yang mengendalikan kes Scorpene di Perancis, William Bourdon dan Joseph Breham, menjemput mereka supaya datang dalam tempoh sehingga Parlimen tamat bersidang pada 22 November depan.

Turut dijemput peguam mewakili syarikat pertahanan Perancis yang terlibat dalam penjualan Scorpene iaitu Direction des Construction
Navales Services (DCNS), Olivier Metzner hadir memberi taklimat.

“Rakyat Malaysia nak dengar tentang skandal bayaran 114 juta Euro kepada Syarikat Perimekar Sdn Bhd yang dimiliki Abdul Razak Baginda bagi tujuan ‘logistical support for training’.

“Tapi semua orang tahu Perimekar tidak layak dan tiada pengalaman langsung tentang kapal selam tapi diberikan kontrak bernilai lebih RM500 juta,” katanya dalam sidang media di Parlimen di sini hari ini.

Ahli Parlimen Subang itu berkata, taklimat itu juga membolehkan ahli parlimen mendengar kes mantan pengarah kewangan syarikat DCNS membuat tuntutan pemotongan cukai sebanyak 32 juta Euro atas alasan duit itu digunakan sebagai bayaran rasuah kepada pegawai.

Anwar kini di Paris

Sementara itu, Ahli Parlimen Batu Tian Chua berkata Anwar yang berlepas sejak malam semalam bagi menerima satu anugerah khas kini
sudah pun berada di Paris dan akan bertemu serta menyerahkan surat jemputan itu kepada dua peguam Perancis terbabit.

“Harap mereka terima dan boleh tetapkan tarikh…jika semuanya berjalan lancar Ahli Parlimen BN dan Pakatan dijemput hadir mendengar taklimat,” katanya.

Tian Chua berkata, taklimat itu perlu dijadikan satu peluang kepada semua mendapat gambaran jelas sekali gus dapat membetulkan persepsi
rakyat mengenai skandal pembelian kapal selam yang turut dikaitkan dengan pemimpin tertinggi negara.

“Kalau ada sasuatu yang tak betul kerajaan Malaysia wajar ambil tindakan susulan,” katanya.

Berbeza dengan sistem perundangan Malaysia yang mengikuti undang-undang British, Sivarasa berkata badan kehakiman Perancis mempunyai agensi penguatkuasa tersendiri untuk menyiasat sesuatu kes tanpa perlu bergantung kepada hasil siasatan daripada pihak polis.

No comments: