Share |

Tuesday 4 September 2012

Wira Perkasa akui halang Anwar berceramah

Kejadian itu tidak akan berlaku jika Ketua Pembangkang itu tidak menggunakan masjid sebagai medan untuk memecahbelahkan perpaduan orang Islam dan Melayu.

PETALING JAYA: Wira Perkasa (Persatuan Peribumi Perkasa Malaysia) mengakui mereka bertanggungjawab dalam menghalang Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada menyampaikan tazkirah Maghrib di sebuah masjid di Seberang Pumpong, Alor Star, Kedah semalam.

Di dalam kejadian tersebut, beberapa ahli Perkasa berhimpun dan memulakan provokasi ketika Anwar hendak menyampaikan tazkirah di mimbar masjid.

Ahli Perkasa itu bertindak samseng dengan memadamkan lampu masjid dan alat pembesar suara berulangkali, memaksa Anwar menggunakan ‘loud hailer’ untuk meneruskan kuliahnya.

Kumpulan terbabit juga turut melontar kasut ke dalam masjid ketika tazkirah disampaikan.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar yang berada di masjid itu berkata, beliau turut menjadi sasaran apabila kasut yang dibaling hampir-hampir mengenai beliau.

Ketika dihubungi FMT, Ketua Wira Perkasa Pusat, Irwan Fahmi berkata, kejadian itu tidak akan berlaku jika Anwar tidak menggunakan masjid sebagai medan untuk memecahbelahkan perpaduan orang Islam dan Melayu.

“Kenapa Anwar menggunakan masjid untuk berpolitik? Masjid bukan tempat untuk berceramah politik. Masjid adalah tempat untuk membuat amal ibadat.

Dakyah politik

“Bukankah Kedah diperintah oleh Pakatan Rakyat? Mereka boleh menggunakan stadium atau dewan tanpa sebarang halangan. Tiada sebab untuk mereka menyebarkan dakyah politik di masjid itu.

“Perbuatan Anwar itu lebih dajal daripada dajal. Anwar memaksa kami untuk bertindak. Halangan itu dilakukan oleh Wira Kedah sendiri.

“Ini menunjukkan kesatuan anak negeri itu untuk menghalang Anwar daripada terus memecahbelahkan perpaduan orang Islam dan Melayu. Tiada penglibatan daripada Wira Perkasa Pusat”, katanya.

Apabila ditanya mengenai kejadian baling kasut pada malam itu, Irwan berkata beliau masih tidak pasti dan agak kesal dengan kejadian tersebut serta masih menunggu laporan penuh daripada Ketua Wira Kedah.

Menurutnya lagi, Perkasa telah membuat laporan polis di IPD Dang Wangi semalam, berkenaan dengan isu cubaan untuk menukar bendera Malaysia, Jalur Gemilang dengan Sang Saka Malaya yang direka oleh Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan, Najwan Halimi.

“Perbuatannya sangat melampau. Perkasa menggesa agar kerajaan menarik balik kerakyatannya. Dalam mesyuarat semalam juga kami telah sepakat untuk menggesa pihak yang berwajib agar melucutkan kerakyatannya dan laporan polis telah dibuat semalam”, katanya.

Berkenaan dengan kejadian memijak gambar Datuk Seri Najib Tun Razak, Irwan menjelaskan, mereka mengutuk dan menentang tindakan itu, bukan disebabkan Najib, tetapi kerana Najib adalah Perdana Menteri Malaysia.

No comments: