Share |

Thursday 13 September 2012

Siasat punca kematian tahanan dalam lokap

Punca kematian yang tercatat dalam daftar kematian adalah darah tinggi tetapi Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainuddin Ahmad menyatakan punca kematian adalah sakit jantung.

PETALING JAYA: Pemuda PAS Johor mendesak polis menyiasat punca kematian P Chandran dalam lokap polis IPD Dang Wangi pada Isnin lalu.

Mayatnya tiba di rumah keluarganya di Simpang Renggam, Johor pada jam 9 malam keesokkannya.

Punca kematian yang tercatat dalam daftar kematian adalah darah tinggi (Hypertension heart disease) Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainuddin Ahmad menyatakan punca kematian adalah sakit jantung.

Terdapat percanggahan punca kematian Chandran, kata Ketua Pemuda PAS Johor, Suhaizan Kaia tdalam kenyataan media.

Katanya, keluarga Chandran tidak berpuashati kerana isteri beliau telah memaklumkan kepada pihak polis bahawa suaminya menghidapi penyakit darah tinggi dan perlu mengambil ubat setiap hari.

`Laporan polis’

“Pihak polis menyatakan bahawa semua urusan dalam lokap di bawah pengawasannya. Malangnya Chandran didapati meninggal dunia dalam lokap polis.

“Adik beliau, P Gunalan, mewakili pihak keluarga telah membuat satu laporan polis semalam kira-kira jam 11 malam di Balai Polis Simpang Renggam, Johor”, kata Suhaizan lagi.

Suhaizan menjelaskan, terdapat juga percanggahan waktu kematian Chandran di mana keluarga dimaklumkan kematian beliau pada jam 10 malam sedangkan dalam daftar kematian dicatatkan pada jam 11.55 malam hari Isnin.

“Persoalannya, mengapa pihak polis telah memaklumkan kematiannya sedangkan mengikut daftar kematian, Chandran belum meninggal dunia pada waktu tersebut,” tanya Suhaizan.

Menurut Gunalan, terdapat luka di dahi dan rusuk Chandran. Keluarganya tidak mengetahui dengan jelas punca luka-luka tersebut berlaku.

“Berdasarkan kepada beberapa keraguan yang telah berlaku maka Dewan Pemuda PAS Johor mendesak kepada pihak kerajaan membuat siasatan terhadap punca kematian Chandran”, kata Suhaizan.

Beliau turut menggesa rakyat Malaysia yang prihatin agar membantu keluarga Chandran.

Chandran merupakan seorang pemandu lori meninggalkan seorang balu dan enam orang anak yang masih kecil. Keluarganya telah kehilangan mata pencarian dan memerlukan bantuan kewangan.

No comments: