Share |

Thursday, 20 September 2012

Pejabat Suaram ‘diserbu’ polis, ROS

Empat pegawai ROS dan dua anggota polis tiba kira-kira 11.15 pagi tadi meminta untuk masuk ke pejabat atas alasan 'mahu menjalankan pemeriksaan rutin'.

PETALING JAYA: Pejabat Suara Rakyat Malaysia (Suaram) di Jalan Gasing di sini didatangi polis dan Pendaftar Pertubuhan (ROS) pagi tadi, dipercayai untuk tujuan pemeriksaan terhadap badan bukan kerajaan (NGO) itu.

Pengarah Eksekutif Suaram E Nalini ketika dihubungi berkata, empat pegawai ROS dan dua anggota polis tiba kira-kira 11.15 pagi tadi meminta untuk masuk ke pejabat atas alasan ‘mahu menjalankan pemeriksaan rutin’.

“Namun kami tidak membenarkan mereka masuk ke pejabat kerana mereka hadir tanpa sebarang notis atau waran.

“Selagi tiada sebarang waran dikemukakan mereka tidak akan dibenarkan masuk,” katanya.

Suaram kemudiannya diwakili peguam Latheefa Koya dan Fadiah Nadwa Fikri yang hadir kira-kira 10 minit kemudian untuk berbincang dengan peawai tersebut.

Fadiah ketika dihubungi berkata, pegawai terbabit pada mulanya berkeras mahu naik ke premis Suaram namun berjaya dihalang selepas meyakinkan mereka perlu mempunyai waran untuk berbuat demikian.

Katanya, pegawai terbabit kemudiannya mengarahkan kakitangan Suaram mengisi satu borang ROS yang mengandungi arahan supaya menyatakan beberapan butiran termasuk jumlah kakitangan dan alat kelengkapan pejabat.

Namun Fadiah berkata anak guamnya enggan mengisi borang tersebut kerana Suaram berdaftar dengan Pendaftar Syarikat (ROC) di bawah Suara Inisiatif Sdn Bhd dan bukannya ROS.

“Nalini cuma mengisi dalam ruangan “Nota” dibahagian terakhir borang yang menegaskan Suaram adalah NGO berdaftar dan mematuhi piawaian daripada pemeriksaan berkala ROC.

“Maka tiada keperluan untuk Suaram mengisi borang ROS.

“Polis dan pegawai ROS kemudiannya meninggalkan premis kira-kira 1 tengahari tadi selepas berpuas hati dengan penjelasan kami. Tiada sebarang kekerasan atau kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Kedatangan ROS itu dipercayai berkaitan keputusan kerajaan yang mahu menyiasat dakwaan NGO itu menerima dana asing daripada National Endowment for Democracy (NED).

NED, yang diasas pada tahun 1983 dikatakan bergerak sebagai topeng CIA dan berselindung di sebalik pertubuhan bantuan amal untuk projek ‘demokrasi’.

NED turut dikaitkan dengan ‘penyangak mata wang’ antarabangsa yang menyebabkan krisis ekonomi Asia Tenggara pada tahun 1997, George Soros.

No comments: