Share |

Friday 20 July 2012

Zuraida: Berhati-hati tangani isu Latheefa

Sekiranya Latheefa gagal menjalankan tugas sebagai ahli majlis, kerajaan negeri boleh mengemukakan perkara tersebut kepada Jawatankuasa Disiplin parti.

PETALING JAYA: Timbalan Pengerusi PKR Negeri Selangor, Zuraida Kamaruddin menegur kerajaan negeri agar berhati-hati dalam spekulasi pemecatan Latheefa Koya sebagai ahli majlis kerana ia melibatkan lantikan politik oleh parti.

Menurut Zuraida, parti mempunyai kelayakan untuk memilih mana-mana individu dalam parti sebagai ahli majlis.

Maka apabila ia membabitkan lantikan politik, sebarang spekulasi mahupun keputusan yang dibuat oleh pihak terlibat perlu merujuk kepada kepimpinan parti terlebih dahulu.

Beliau berkata sekiranya Latheefa gagal menjalankan tugas sebagai ahli majlis, kerajaan negeri boleh mengemukakan perkara tersebut kepada Jawatankuasa Disiplin parti.

“Jika Menteri Besar (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) rasa beliau (Latheefa) melakukan kesalahan maka perkara itu boleh dibawa kepada jawatankuasa disiplin parti.

“Isunya di sini bukan Latheefa tidak laksanakan tanggungjawab sebagai ahli majlis MBPJ, tetapi beliau hanya memberi teguran kepada kerajaan negeri.

Lantikan politik

“Maka kerajaan negeri perlu berhati-hati apabila wujud spekulasi pemecatan seperti ini. Kerana beliau adalah daripada lantikan politik.

Pihak parti (PKR) sendiri yang melantik beliau dan parti mempunyai kelayakan untuk melantik mana-mana ahli yang layak,” katanya kepada FMT.

Zuraida yang juga Ketua Wanita PKR berkata, beliau akan berhubung dan berbincang dengan Latheefa mengenai hasrat perletakan jawatannya sebagai ahli majlis berkenaan.

Namun menurut Zuraida, setakat ini beliau masih gagal menghubungi Latheefa.

Semalam, Abdul Khalid dalam satu sidang medianya berkata, hasrat perletakan jawatan oleh Latheefa itu akan diserahkan kepada PKR.

Latheefa pada Isnin lalu melalui emel kepada FMT menulis dan menyatakan hasrat untuk meletakkan jawatan sebagai ahli majlis MBPJ.

FMT sebelum ini melaporkan wujud satu mesyuarat exco yang membincangkan tentang pemecatan Latheefa namun keputusan muktamad belum diperoleh.

Perkara ini diakui sendiri oleh Menteri Besar ketika ditemui para pemberita di satu majlis di Tanjong Karang pada Jumaat lalu.

Read more: http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2012/07/19/zuraida-berhati-hati-tangani-isu-latheefa/#ixzz215xpYWwD

No comments: