Berita Harian 
KUALA 
LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan tidak bercadang untuk
 menubuhkan badan peguam alternatif bagi menggantikan fungsi Majlis 
Peguam Malaysia.
Timbalan
 Perdana Menteri berkata, ini kerana kerajaan memahami badan profesional
 itu ditubuhkan mengikut akta dan peruntukan Perlembagaan.
Apa
 yang penting, tegas beliau kepemimpinan majlis sedia ada harus bersikap
 lebih bertanggungjawab bagi mengelak persepsi negatif rakyat yang kini 
menganggap badan itu satu pertubuhan dimonopoli pembangkang.
“Majlis
 Peguam memikul beban yang berat bagi mengubah persepsi ini, sebagai 
peguam mereka harus bersikap adil dan saksama, tidak boleh berat sebelah
 namun terbukti dalam hal tertentu, mereka seolah-olah mengambil 
pendirian semua salah kerajaan, polis.
“Kalau
 anda manusia yang adil, hakim atau peguam berpengalaman, mesti bersikap
 rasional, mana yang betul kata betul, tidak betul kata tidak betul, 
baru adil.
“Terpulang
 kepada masyarakat menilai, ini sebelum buat keputusan, kita sudah tahu,
 niat dan kecenderungan mereka di mana, ini tidak bantu untuk naik imej 
majlis sebagai badan berintegriti, mereka kena tunjuk (keadilan), kalau 
tidak selama mana rakyat menilai ia badan politik bukan Majlis Peguam, 
itu beban yang mereka harus tanggung,” katanya pada sidang media selepas
 majlis makan tengahari sempena Mesyuarat Agung Tahunan Ke-21 Persatuan 
Pengilang dan Industri Perkhidmatan Bumiputera Malaysia di sini, 
semalam.
Sebelum
 ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul
 Aziz, berkata kerajaan bercadang mengkaji pembentukan majlis peguam 
kedua sebagai alternatif kepada peguam yang tidak berpuas hati dengan 
majlis sedia ada yang didakwa menyokong perjuangan pembangkang. 
Mengulas
 dakwaan bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim yang 
ditawarkan RM50,000 oleh pemimpin DAP bagi menutup mulut dalam isu 
peletakan jawatannya, baru-baru ini, Muhyiddin berkata, perbuatan itu 
langsung tidak menghormati pemimpin berkenaan.
 
 
No comments:
Post a Comment