Share |

Tuesday, 8 May 2012

‘Dharma’ sebagai norma masyarakat

Ajaran ini turut memainkan peranan mengekalkan persefahaman dan perpaduan dalam masyarakat.
COMMENT

Konsep hidup bermasyarakat sudah wujud dalam budaya penduduk India sejak bermulanya Tamadun Lembah Indus pada sekitar tahun 2500 Sebelum Masehi. Masyarakat India pada waktu itu terbukti sudah membentuk peraturan, norma, etika dan moral sebagai pegangan hidup bermasyarakat.

Segala peraturan yang disebut “dharma” dikaitkan pula dengan peraturan agama. Namun, perlu dinyatakan bahawa konsep “dharma” bukan sebahagian daripada ajaran agama Hindu. Sebaliknya, kedua-duanya seiring dalam membantu manusia mencapai kehidupan yang sempurna.

Sekiranya dihayati, perkara-perkara berkaitan “dharma” masih sesuai diguna pakai pada zaman moden ini. Apatah lagi apabila pelbagai masalah sosial dan keruntuhan moral dilaporkan berlaku dalam masyarakat.

Konsep “dharma” masih relevan kerana ajaran yang terkandung di dalamnya adalah – antara lain – berkaitan nilai kekeluargaan dan norma dalam masyarakat.

Peraturan dan ajaran “dharma” memainkan peranan penting dalam mengekalkan persefahaman dan perpaduan dalam masyarakat. Tidak hairanlah terdapat teks berjudul ‘Dharmasastra’ dalam budaya India yang khusus membicarakan konsep “dharma”.

Ajaran-ajaran dalam Dharmasastra antara lain berperanan memelihara nilai-nilai murni dalam kehidupan, menyedarkan perihal tugas dan tanggungjawab setiap individu serta menjadi panduan ke arah kesejahteraan hidup bermasyarakat.

Perkataan “dharma” berasaskan perkataan Sanskrit “dhr” yang membawa makna “menyokong, meneruskan atau mengekalkan”. Maka, konsep “dharma” merujuk pada apa yang perlu bagi menyokong, meneruskan serta mengekalkan keseimbangan kehidupan yang murni.

Saya pernah membicarakan konsep ini menerusi sebuah makalah di majalah Dewan Budaya pada Oktober 2004. Harus dinyatakan bahawa segala tulisan saya berkaitan budaya kaum India bertujuan memberi maklumat asas dan membuka ruang pemahaman kepada masyarakat pelbagai kaum di Malaysia; bukan bertujuan menjadikan sesiapa pakar agama Hindu dan budaya India.

Para pemikir agung yang hidup pada sekitar tahun 2500 Sebelum Masehi di India telah menyenaraikan ordinan, peraturan, tugas, hak, moral, tanggungjawab, peranan dan ciri yang perlu dimiliki oleh setiap individu yang hidup dalam masyarakat.

Konsep awal “dharma” terdapat dalam ‘Rigveda’ yang menjadi sumber rujukan utama. Terdapat sekurang-kurangnya 50 bahagian dalam kitab veda yang membicarakan konsep “dharma” seperti jenis-jenis perkahwinan, jenis-jenis anak, peraturan mengambil anak angkat, pembahagian harta, harta yang menjadi hak kaum wanita dan tingkah laku.

Dharmasastra


Bagaimanapun, Bahasa Sanskrit yang digunakan menjadikan ajaran-ajaran dalam veda sukar difahami masyarakat umum. Maka, terhasil pula kitab-kitab yang kemudian dikumpul dan dinamakan Dharmasastra.

Salah satu bentuk Dharmasastra yang lebih mudah difahami adalah ‘dharmasutra’ iaitu himpunan ajaran “dharma” dalam hidup berkeluarga dan bermasyarakat. Kandungannya lebih mudah difahami berbanding Rigveda.

Contoh teks dharmasurta adalah Apastamba Dharmasutra, Gautama Dharmasutra, Harita Dharmasutra dan Visnu Dharmasutra. Bahasa yang digunakan dalam dharmasutra dikatakan masih sukar difahami. Penyusunan subjek pula kurang sistematik.

Hasilnya, beberapa pemikir agung dalam masyarakat India menghasilkan bentuk penulisan baru yang dikenali sebagai ‘smrti’. Bahasa yang digunakan adalah lebih mudah difahami oleh masyarakat umum. Teknik dan gaya bahasa berirama menjadikan kandungan smrti lebih mudah dihafaz dan diingat.

‘Manu Smrti’ merupakan teks yang paling dikenali hingga kini. Teks itu mengandungi 12 bab dengan 2,684 rangkap berlagu yang meliputi hampir keseluruhan ajaran Dharmasastra. Maka, ia diakui sebagai teks paling tua dan paling layak digunakan sebagai sumber rujukan berhubung ajaran “dharma”.

Antara topik yang dibicarakan dalam Manu Smrti adalah proses penciptaan dunia, sistem varna, perselisihan dan cara penyelesaian, dosa dan taubat, sikap positif dan negatif, serta tindakan yang dibenarkan sewaktu dalam keadaan darurat.

Memandangkan kehidupan dan pemikiran masyarakat adalah proses yang sentiasa berkembang, tidak hairanlah bahawa timbul pelbagai pandangan dan interpretasi berbeza terhadap konsep “dharma” yang terkandung dalam veda, dharmasutra dan smrti.

Pakar bidang dan pendeta dalam masyarakat mula menulis pandangan mereka setelah mengkaji teks-teks berkenaan. Pandangan, komen dan interpretasi itu juga kemudian diterima sebagai bahan rujukan apabila membicarakan konsep “dharma”. Malah, amalan dan tingkah laku pendeta terbabit turut dijadikan rujukan.

Ada pula pendeta dan pakar yang menghasilkan beberapa teks rujukan lengkap terhadap segala perkara berkaitan konsep “dharma”. Sari atau pati segala ajaran “dharma” disusun secara terperinci dan penuh sistematik sehingga teks berkenaan boleh dianggap sebagai beberapa buah ensiklopedia. Nama yang diberikan adalah ‘nibandha’.

Antara topik yang diterangkan dalam nibandha adalah ritual keagamaan, pemberian hadiah, tugas pemerintah, perundangan, pentadbiran, syarat pemakanan, prosedur mahkamah, undang-undang sivil, perayaan, hari-hari suci, syarat mengambil anak angkat, tanggungjawab ahli keluarga, upacara pemujaan, tanggungjawab sosial, sains politik dan penyucian diri.

Ringkasnya, segala aspek “dharma” berhubung moral, nilai, norma, etika, tugas, tanggungjawab, hak dan sebagainya tersusun kemas dalam teks nibandha. Contoh nibandha adalah Kalpataru, Smrticandrika, Smrtitattva dan Viramitrodaya.

Selain itu, terdapat juga kisah dewa-dewi yang dinamakan purana dalam budaya India. Terdapat sejumlah 18 purana yang utama di mana setiap satu menghimpunkan kisah keagungan dewa atau dewi terbabit.

Pengarang purana pasti memasukkan unsur ajaran “dharma” yang terdapat dalam veda, dharmasutra, smrti dan nibandha. Maka, secara tidak langsung, purana turut menjadi teks rujukan bagi ajaran “dharma”.

Ajaran dharma


Kisah dewa-dewi yang terdapat dalam purana menjadikan ajaran “dharma” di dalamnya lebih menarik dan meninggalkan kesan mendalam kepada masyarakat India. Kanak-kanak biasanya disuakan dengan kisah-kisah purana sebagai salah satu cara mudah menerapkan konsep “dharma” sejak usia muda.

Bercakap tentang cerita, tentu sekali ‘Ramayana’ karya Valmiki dan ‘Mahabharata’ karya Vyasa tidak boleh dilupakan. Walaupun kedua-duanya adalah karya sastera yang dihasilkan oleh manusia, namun teks ini dianggap sebagai kitab suci dan sangat dihormati dalam kalangan masyarakat India beragama Hindu.

Hal ini tidaklah menghairankan kerana Ramayana dan Mahabharata tepu dengan ajaran “dharma” yang sangat mendalam serta boleh dijadikan paduan hidup zaman-berzaman.

Malah, dialog antara Dewa Krishna dan Arjuna dalam epik Mahabharata membuatkan ramai menganggap apa yang diucapkan oleh watak Dewa Krishna sebagai semacam wahyu atau perintah Tuhan. Bahagian dialog ini turut dibukukan secara berasingan dengan judul ‘Bhagavad Gita’ dan menjadi sumber rujukan yang sangat penting dan bermanfaat.

Seperti yang sudah saya nyatakan, makalah ini tidak bertujuan menjadikan sesiapa pakar agama Hindu. Sebaliknya membantu masyarakat pelbagai kaum memahami secara umum salah satu perkara asas berkaitan budaya, pemikiran, jatidiri dan falsafah kaum India.

Uthaya Sankar SB sering memaparkan keunikan budaya kaum India menerusi cerpen-cerpen Bahasa Malaysia yang dihasilkannya.

No comments: