Share |

Tuesday, 15 May 2012

‘Dharma’ sebagai kod etika

Konsep “dharma” merujuk pada himpunan ajaran yang membimbing seseorang individu menjadi insan yang berhemah.

COMMENT By Uthaya Sankar SB
Seorang individu yang menghayati konsep “dharma” pasti tidak akan melakukan apa-apa perkara yang bertentangan dengan nilai dalam keluarga, kod etika pekerjaan dan norma dalam masyarakat.
Pemahaman, penghayatan dan kepatuhan kaum India terhadap segala ajaran yang terkandung dalam teks-teks berkaitan ‘Dharmasastra’ mampu menyumbang ke arah usaha mengatasi pelbagai masalah dalam masyarakat.

Seperti yang saya huraikan minggu lalu, konsep “dharma” dalam budaya India bukan tuntutan agama Hindu semata-mata. Sebaliknya, memandangkan ajaran agama Hindu dan ajaran Dharmasastra sama-sama membimbing manusia ke arah kebaikan, maka ramai yang berpandangan bahawa Dharmasastra adalah sebahagian daripada konsep keagamaan Hindu.

Pada waktu sama, ajaran agama Hindu turut digelar Sanatana Dharma iaitu “agama yang abadi” atau “agama yang tiada permulaan dan tiada kesudahan”. Satu lagi gelaran yang digunakan adalah Vaidika Dharma iaitu “agama menurut kitab-kitab veda”.

Namun, sebenarnya, konsep “dharma” tidak terikat pada ajaran satu-satu agama. Sebaliknya, ajaran “dharma” secara langsung atau tidak langsung diterapkan juga dalam ajaran mana-mana agama utama dunia.
Hal ini tidaklah menghairankan kerana setiap agama memang membimbing para penganut ke arah “dharma”. Kebenaran hakikat ini akan diperakui sekiranya setiap individu memahami ajaran sebenar agama anutan masing-masing.

Konsep “dharma” merujuk pada himpunan ajaran, peraturan, moral, nilai murni, etika, norma, tanggungjawab, hak dan sebagainya yang membimbing seseorang individu menjadi insan yang berhemah dalam keluarga dan masyarakat.

Dalam budaya India, himpunan “dharma” ini dikategorikan sebagai Dharmasastra iaitu teks-teks yang mengandungi ajaran mengenai “dharma”. Topik-topik yang dibicarakan dalam teks Dharmasastra terbahagi pada tiga kumpulan utama iaitu acara, vyavahara dan prayascitta.

Konsep ‘acara’ merujuk pada tingkah-laku umum serta nilai-nilai murni yang menjadi amalan serta pegangan seseorang. Setiap individu perlu memelihara diri secara zahir dan batin supaya dapat menjalani hidup yang sempurna dan bersih daripada sebarang noda.

Dalam budaya India, kemajuan dan kesejahteraan hidup seorang individu bukan hanya dipandang dari aspek duniawi (abhyudaya). Sebaliknya, aspek kebajikan spiritual dan rohani (nissreyasa) turut diberi perhatian.

Kod etika

Untuk mencapai kesejahteraan dari aspek duniawi dan rohani, seorang individu dikatakan perlu patuh pada ‘acara’ iaitu semacam kod etika dalam kehidupan seharian.

Sumber bagi kod etika yang disebutkan ini diambil daripada ajaran yang terkandung dalam veda, dharmasutra, smrti, nibandha, purana dan epik. Saya pernah menghuraikan perkara ini menerusi sebuah makalah di majalah Dewan Budaya (Oktober 2004).
Veda adalah kitab suci yang menjadi panduan dalam kehidupan masyarakat India beragama Hindu. Dharmasutra pula koleksi teks-teks yang ditulis kemudian untuk menyampaikan ajaran veda secara lebih mudah.
Memandangkan karya-karya dharmasutra masih sukar difahami dan diingat, para pemikir agung pada masa lampau telah menghasilkan smrti yang mengungkapkan konsep “dharma” dengan bahasa yang mudah dan berirama.

Nibandha merujuk pada ensiklopedia atau teks-teks rujukan mengenai “dharma” yang disusun secara penuh sistematik. Manakala purana merujuk pada cerita-cerita mengenai dewa-dewi yang menerapkan ajaran “dharma”.

Amalan positif berdasarkan kod etika (sadacara) menyumbang kepada kehidupan yang bahagia; manakala pelanggaran kod etika (duracara) mengakibatkan kesengsaraan dan kedukaan.

Kod etika atau ‘acara’ yang ditegaskan di atas meliputi diri individu terbabit, hubungannya dengan keluarga serta hubungan dengan Tuhan. Tanggungjawab melayan tetamu turut dijelaskan dalam kod etika ini dan ternyata masih sesuai dijadikan pegangan.

Secara umum, ‘vyavahara’ merujuk pada tingkah laku dalam masyarakat atau norma dalam hidup bermasyarakat. Secara lebih khusus, vyavahara turut melibatkan perihal undang-undang sivil dan undang-undang jenayah.

Sebanyak 18 perkara utama dibicarakan dalam bahagian ini. Antaranya adalah isu berkaitan hutang, perkongsian dalam perniagaan, melanggar surat perjanjian, urusan jual-beli, perbalahan antara majikan dan pekerja, perselisihan mengenai persempadanan, serangan, rompakan, menculik wanita, hubungan suami-isteri serta pembahagian harta.

Mungkin sukar dipercayai tetapi hakikatnya adalah bahawa perkara-perkara di atas memang sudah diperkatakan dalam ‘Dharmasastra’ yang ditulis ribuan tahun dahulu di India.

Bagi mempastikan kestabilan dan keseimbangan dalam masyarakat berkekalan serta untuk memastikan norma (norms) dipatuhi, istana menjadi dewan perundangan. Raja yang bertindak sebagai hakim akan dibantu oleh sejumlah penasihat yang berilmu dan disegani. Demikian cara “dharma” dipelihara, dipegang dan dipertahankan pada masa lalu.

Konsep “dharma” dalam budaya India sejak ribuan tahun dahulu tidak pernah menafikan hakikat bahawa manusia tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Maka, mengikut konsep ‘prayascitta’, individu yang melakukan kesalahan perlu diberi peluang untuk menebus dosa dan bertaubat.

Dosa besar
Istilah ‘prayascitta’ merujuk pada perbuatan menebus dosa atau bertaubat. Dalam teks-teks Dharmasastra, diterangkan jenis-jenis dosa atau perbuatan yang melanggar kod etika (vyavahara) serta apa yang perlu dilakukan untuk menebus dosa berkenaan.
Pelanggaran kod etika atau perbuatan dosa disebut ‘pataka’. Terdapat dosa besar (mahapataka) dan dosa kecil (upapataka).

Contoh dosa besar dalam budaya India adalah meminum arak, membunuh dan sumbang mahram. Antara dosa kecil pula perbuatan tidak membayar hutang, menebang pokok, membunuh binatang dan mencuri.

Hukuman yang dikenakan (prayascitta) pasti berbeza antara dosa besar dan dosa kecil. Terdapat banyak saranan hukuman dan denda yang diterangkan dalam Dharmasastra secara terperinci.

Antara hukuman yang biasa bagi dosa-dosa kecil adalah berpuasa, memberi hadiah, melakukan upacara pemujaan khas dan memohon maaf. Bagi dosa besar pula, hukuman mati mungkin dikenakan; atau pesalah diminta membunuh diri.

Mungkin ada perkara yang terkandung dalam konsep “dharma” kurang sesuai dengan masa kini. Malah, para pemikir agung yang menghasilkan teks-teks Dharmasastra ribuan tahun lalu sudah menegaskan bahawa mana-mana peraturan atau “dharma” yang kurang relevan harus diubah suai mengikut peredaran zaman.
Konsep “dharma” dalam budaya India menyedari serta mengakui bahawa norma dalam masyarakat adalah tidak statik. Sebaliknya, ia sentiasa mengalami perubahan dan bersifat progresif. Malah, membuktikan bahawa “dharma” hidup sepanjang zaman.

Apa yang cukup mengkagumkan adalah bahawa kebanyakan ajaran dalam Dharmasastra masih sesuai dijadikan amalan. Apatah lagi, konsep “dharma” menekankan aspek nilai murni, keharmonian keluarga, norma dalam masyarakat, etika, tanggangjawab dan hak individu.

Saya pernah bertugas sebagai pensyarah subjek Pendidikan Moral di beberapa kolej swasta (1999-2007) dan perkara-perkara yang terkandung dalam konsep “dharma” masih terdapat dalam sukatan pelajaran – secara langsung atau tidak langsung.

Konsep “dharma” bukan hanya dibicarakan oleh masyarakat India beragama Hindu. Konsep yang sama turut terdapat dalam ajaran agama Buddha. Malah, konsep “dharma” terdapat dalam semua masyarakat yang mengakui kelompoknya bertamadun.

Walaupun mungkin istilah “dharma” tidak digunakan sebagai rujukan, sesungguhnya konsep “dharma” seperti yang diterangkan ini terus menjadi amalan dalam masyarakat India khasnya dan masyarakat seluruh dunia amnya.
Uthaya Sankar SB memblog di www.uthayasb.blogspot.com dan boleh dihubungi melalui e-mel uthayasb@yahoo.com.my

No comments: