Share |

Friday 6 April 2012

Sindiket IC: Siasat pegawai tinggi kerajaan

PAS desak ditubuhkan RCI bagi menyiasat wujudnya sindiket pemberian kad pengenalan ekoran pendedahan naib presiden Datuk Mahfuz Omar di Parlimen semalam.

KUALA LUMPUR: PAS mendesak supaya Suruhanjaya DiRaja (RCI) ditubuhkan segera untuk menyiasat dakwaan wujudnya sindiket pemberian kad pengenalan (IC) kepada warga asing yang dilakukan oleh pegawai tertinggi kerajaan.

Tuntutan itu dibuat sejajar dengan pembongkaran dibuat ahli parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar semalam di Parlimen.

Menurut Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu tindakan ini serius dan perlu siasatan lanjut kerana ia mampu menjejaskan keselamatan negara.

“Jika tiada tindakan selanjutnya oleh kerajaan tentang hal ini, kita akan dedahkan nama-nama lagi.

“Kita tegaskan hari ini untuk menyokong apa yang disarankan Mahfuz tentang penglibatan pegawai-pegawai tinggi kerajaan yang mengeluarkan kad pengenalan merah kepada biru,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PAS petang tadi.

Mat Sabu turut mendakwa proses pengeluaran kad pengenalan ini dilakukan di sebuah pejabat yang bertempat di Selangor.

KDN, SPR, JPN terlibat?

Dakwa beliau, seramai 12 pegawai tertinggi terlibat daripada tiga agensi berkaitan termasuklah Kementerian Dalam Negeri (KDN), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Beliau turut membidas penafian Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Wan Ahmad Wan Omar terlibat dalam ‘task force’ itu.

“Sesiapa boleh nafi, dia pegawai kerajaan. Tak perlu komen dan buat penafian. Biar Mahfuz buat kenyataan kepada suruhanjaya bebas nanti,” katanya.

Sementara itu, Mahfuz mempertahankan dakwaannya semalam malah bersedia memberi kerjasama penuh mendedahkan butiran terperinci ‘task force’ itu kepada RCI nanti.

“Saya sudah menjangka mereka yang saya sebut semalam akan menafikannya.

“Penafian mereka membuktikan dakwaan saya benar. Mereka boleh menafikan, biar RCI siasat,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen.

No comments: