Share |

Wednesday 18 April 2012

Perkasa anjur himpunan ‘Raja Berdaulat, Kasih Dijunjung’

Tema 'Ke Titisan Darah Terakhir Demi Raja dan Negara' menjadi pemangkin semangat kepada perhimpunan pada kali ini.

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) akan menganjurkan perhimpunan yang dikenali ‘Raja Berdaulat, Kasih Dijunjung’ pada 29 April ini sebagai tanda taat setia kepada Raja-raja Melayu.

Sambil mengalu-alukan penyertaan rakyat daripada pelbagai kaum, Presidennya Datuk Ibrahim Ali berkata pihaknya telah memohon kelulusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk menggunakan sama ada Dataran Merdeka atau Padang Merbuk sebagai tempat perhimpunan.

Ketika ditemui FMT beliau berkata, tema ‘Ke Titisan Darah Terakhir Demi Raja dan Negara’ menjadi pemangkin semangat kepada perhimpunan pada kali ini bagi menarik seramai mungkin ahli dan orang ramai.

Menurut Timbalan Presiden, Datuk Abd Rahman, perhimpunan ini juga bagi meraikan Pertabalan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agung ke-14, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah di Istana Negara Jalan Duta pada 11 April lepas.

Beliau mengecam tindakan Pakatan Rakat yang didakwa mengejek dan mempersendakan Raja-Raja Melayu ketika majlis pertabalan tempoh hari.

Abdul Rahman berkata, mereka tidak berpeluang untuk bersama-sama dalam Balairong Seri Istana Negara bagi mengikuti adat istiadat majlis pertabalan Tuanku.

“Bukan seperti wakil rakyat Pakatan yang diberi keistimewaan hadir dalam Balairong Sri Istana Negara pada majlis tersebut.

Bukannya mahu menjaga tata tertib bahkan mengejek dan mempersenda Raja-Raja Melayu termasuk Perdana Menteri,” katanya dalam

sidang media di luar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi petang tadi.

“Perkasa akan tentang habis-habisan pihak yang cuba menghapuskan sistem pemerintahan raja berperlembagaan dan menukar negara ini menjadi sebuah negara republik.

“Perkasa akan terus pertahan dan memperkasakan Raja-Raja Melayu. Itu adalah satu perjuangan Perkasa yang tercatat dalam Perlembagaan Perkasa,” tegas beliau.

No comments: