Share |

Tuesday, 3 April 2012

Parlimen Belia jadi alternatif suara jalanan

“Demontrasi jerit ramai-ramai di jalan...orang (kerajaan) tidak berapa dengar sebab ramai yang jerit.”

KUALA LUMPUR: Parlimen Belia mampu menjadi saluran terbaik bagi golongan muda menyatakan pandangan berbanding bersuara melalui demonstrasi jalanan yang menjadi budaya pembangkang.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim berkata pihaknya percaya pendekatan tersebut mampu memberi pendedahan dan pemahaman yang lebih bertanggungjawab mengenai amalan demokrasi negara.

“Berdemonstrasi, jerit ramai-ramai di jalan…orang (kerajaan) tidak berapa dengar sebab ramai yang jerit. Melalui Parlimen Belia ini kita boleh bawa usul dan akan melihat sendiri prosesnya dari satu fasa ke satu fasa yang lain.

“Melalui langkah ini juga kerajaan dapat melahirkan anak muda yang lebih bertanggungjawab agar tidak memilih demonstrasi jalanan satu-satunya pilihan untuk menyatakan pendirian, tetapi memilih saluran yang lebih bermanfaat,” katanya dalam satu sidang media di Parlimen pada Isnin.

Menampilkan konsep yang sama dengan proses demokrasi dalam Dewan Rakyat, Parlimen Belia itu nanti akan dianggotai golongan belia yang akan bersidang dua hingga tiga kali setahun termasuk sesi taklimat bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Satu jawatankuasa khas terpilih juga akan dibentuk bagi membincangkan isu-isu tertentu terutamanya isu membabitkan belia, kemudiannya isu itu nanti akan diambil perhatian oleh kementerian yang terlibat.

Wakil setiap Parlimen

“Pada perancangan kita Parlimen Belia akan bermula setelah habis Dewan Rakyat dan Dewan Negara…ini dalam perancangan, kerana kita mahu gunakan dewan yang sama.

“Belia yang dipilih akan mewakili 222 kawasan Parlimen.

“Kita mengharapkan Dewan Rakyat digunakan sebagai tempat Parlimen Belia ini bersidang. Jika tidak kita terpaksa bina yang baru,” katanya.

Katanya, ketika ini Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Belia Malaysia (MBM) sedang menjalankan proses memilih wakil belia di setiap parlimen.

Mereka yang ingin mewakili parlimen masing-masing boleh membuat permohonan secara terus atau atas talian di laman web MBM.

Permohonan terbuka kepada mereka yang berusia 18 hingga 30 tahun mengikut alamat kad pengenalan dan perlu mendapat tandatangan sekurang-kurang 50 orang belia di kawasan mereka.

Selain itu mereka perlu menulis esei agar jawatankuasa pemilih dapat mengenalpasti tahap pemahaman mereka terutamanya dalam megupas isu semasa.

No comments: