Share |

Wednesday, 28 March 2012

Strategi Umno tawan Selangor terbongkar

Blogger Tulang Besi mendedahkan empat kaedah Umno/BN untuk menawan Selangor

PETALING JAYA: Blogger Abdul Rahman Talib yang lebih terkenal sebagai Tulang Besi telah membongkar kaedah Umno untuk menawan Selangor yang ditadbir Pakatan Rakyat.

Beliau mendakwa, empat kaedah digunakan oleh Umno dengan bantuan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Dengan bantuan SPR dan JPN, Umno telah berjaya menukar puluhan ribu pengundi-pengundi Pakatan Rakyat dari Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing dan mendaftar pendatang asing sebagai pengundi yang sah.

“Selain itu mereka turut menukar alamat pengundi-pengundi Umno dari Johor, Melaka dan Pahang untuk mengundi di DUN PKR dan PAS dan mendaftar banyak pengundi-pengundi hantu yang tidak dikenali dan tidak wujud di Selangor,” kata Abdul Rahman dalam satu kenyataan.

Pada ketika ini BN mempunyai 20 kerusi DUN – 18 dari Umno dan dua MCA (dua). Pakatan Rakyat pula mempunyai 36 kerusi DUN dari jumlah keseluruhan 56 kerusi.

PAS tidak mampu

Menurut Abdul Rahman pada ketika ini Umno/BN yakin boleh memenangi 35 kerusi DUN berbanding 21 kerusi Pakatan dan menjelang pilihanraya yang dijangka diadakan dalam bulan Jun bilangan kerusi yang bakal dimenangi BN adalah 43 berbanding Pakatan, 13.

Beliau menambah bahawa usaha Pakatan untuk menentang penipuan ini adalah minima.

Ini kerana SPR menetapkan kos membantah nama dalam daftar pemilih yang diragui pada RM10 untuk satu nama.

“PAS Selangor tidak mampu membantah dengan banyak walaupun mereka kuat bekerja dan terpaksa berjimat menggunakan wang sendiri untuk menjalankan proses bantahan kerana tiada bantuan kewangan dari mana-mana sumber rasmi,” katanya.

Oleh itu, beliau menggesa para pengundi Selangor menyemak nama mereka di dalam senarai daftar pemilih di laman web SPR.

“Pastikan nama-nama saudara saudari tidak dipindah ke negeri atau kawasan lain kerana berpuluh ribu pengundi telah dibuang dan baling keluar dari kawasan asal mereka,” kata Abdul Rahman.

No comments: