Share |

Wednesday 15 February 2012

Peserta mogok lapar masuk hospital

Gan Ee Seng bertindak demikian untuk terus mendesak kerajaan negeri Pahang membayar wang sebanyak RM70 juta kepada syarikat pelaburannya.

KOTA DAMANSARA: Peserta mogok lapar yang turut mengancam membakar dirinya hari ini dimasukkan ke hospital Sungai Buloh setelah mengalami dehidrasi ekoran tidak makan dan minum selama 24 jam.

Gan Ee Seng, 55 tahun bertindak demikian untuk terus mendesak kerajaan negeri Pahang yang masih gagal membayar wang sebanyak RM70 juta kepada syarikat pembalakan di mana beliau turut melabur.

Bapa kepada tiga orang anak ini melabur di dalam syarikat Seruan Gemilang Makmur Sdn Bhd dan semalam memulakan mogok lapar beliau di Padang Kota Damansara.

Berbekalkan sebuah khemah dan tidur hanya beralaskan sekeping kotak, tindakan Gan ini menarik perhatian beberapa ahli parlimen dari Pakatan Rakyat yang turut meninjau keadaan beliau. Gan yang kelihatan lemah dan tidak bermaya hanya terbaring tanpa mengeluarkan sebarang kata-kata walaupun kehadiran ramai pemberita dan orang awam di kawasan berkenaan.

Beliau difahamkan turut mengalami masalah kesihatan lain seperti tekanan darah tinggi, kencing manis dan hanya diberi minuman sebelum van ambulans tiba.

Antara yang hadir termasuklah ahli parlimen Segambut Lim Lip Eng, R Sivarasa (Subang) dan Tan Kok Wai (Cheras).

Tan menyifatkan perkara seumpama ini tidak sepatutnya berlaku kerana
ia akan memberi kesan kepada pelaburan di negeri berkenaan.

“Kerajaan negeri Pahang gagal untuk membayar sejumlah wang seperti yang diperintahkan mahkamah. Perkara ini tidak patut berlaku dan usaha Gan adalah supaya kerajaan negeri mengambil perhatian mengenai hal ini,” katanya kepada media yang hadir.

Kerajaan negeri harus bertanggungjawab

Sementara itu Lim pula berkata perkara tersebut pernah dibawa ke parlimen dan mahu kerajaan negeri Pahang serta Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob bertanggungjawab di atas perkara tersebut.

Malah beliau turut mengarahkan ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan polis untuk terus memantau Gan yang mengancam untuk membakar dirinya.

“Saya akan mencuba yang terbaik untuk menghentikan hal seperti ini.

Kami membantu apa yang mampu. Dan saya telah arahkan ahli

MBPJ dan polis untuk berada di sini kerana beliau (Gan) mahu membakar dirinya,” kata Lim.

Baik Lim mahupun Sivarasa, mereka tidak bersetuju dengan tindakan Gan membakar diri. Namun menyifatkan ia sebagai satu usaha berterusan untuk kerajaan negeri mengambil perhatian terhadap isu ini.

Pada September 2008, kerajaan Pahang diperintahkan membayar RM60 juta kepada sebuah syarikat pembalakan selepas gagal dalam usaha terakhirnya di Mahkamah Persekutuan bagi mendapatkan kebenaran untuk merayu.

Kerajaan negeri Pahang dan Pengarah Perhutanan Negeri telah memohon kebenaran untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak rayuan mereka untuk melanjutkan masa bagi memfailkan notis rayuan.

Notis rayuan itu adalah terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan pada 25 Mei 2007 yang memerintahkan mereka membayar RM37,127,471.60 kepada Seruan Gemilang dengan faedah pada kadar lapan peratus setahun mulai 31 Disember 2000 sehingga selesai pembayaran.

Mahkamah Tinggi memerintahkan mereka membayar jumlah itu kepada Seruan Gemilang setelah berpuas hati bahawa Pengarah Perhutanan Negeri telah bertindak secara cuai apabila enggan mengguna pakai pelan terkini yang dikemukakan oleh Seruan Gemilang yang telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 5 April 2000, sebaliknya mengarahkan pelan asal yang diluluskan oleh exco pada 7 Januari 1998, diguna pakai.

Pada 9 Disember 2002, Seruan Gemilang memfailkan saman terhadap Kerajaan Negeri Pahang dan Pengarah Perhutanan Negeri bagi memohon ganti rugi RM31 juta kerana didakwa melanggar perjanjian kontrak konsesi pembalakan berhubung pengeluaran kayu balak di atas tanah milik Umno di Mukim Bebar, Daerah Pekan seluas 4,000 hektar.

No comments: