Datuk Ibrahim Ali berkata KDN perlu memanfaatkan sepenuhnya tenaga 2.8 juta anggota Rela dengan mengawal semua tempat ibadah.
Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu memanfaatkan sepenuhnya tenaga 2.8 juta anggota Rela dengan mengawal semua tempat ibadah termasuk masjid, surau, dan madrasah di seluruh kawasan.
Beliau turut menggesa agar rukun tetangga berfungsi membuat kawalan 24 jam, selain mencadangkan agar meletakkan anggota polis mahu pun pengawal keselamatan yang dibiayai oleh Menteri Agama.
“Kalau rumah Perdana Menteri dan Menteri boleh letak polis suruh jaga kenapa di masjid tak boleh,” katanya kepada pemberita selepas melawat Masjid Nurul Iman di Batu 18 di sini tengahari tadi.
Dalam kejadian pagi semalam, satu kepala babi panggang ditemui terletak dihadapan tangga pintu utama masjid tersebut.
Kepala itu ditemui siak masjid kira-kira 5.15 pagi ketika hendak membuat persiapan solat Subuh sebelum melaporkan kejadian itu ke balai polis berdekatan.
Sehubungan itu, Ibrahim dalam responnya mendesak polis bertindak profesional dengan segera membawa dan menghukum pihak yang tidak bertanggungjawab ke muka pengadilan dengan segera.
Sambil mengecam insiden itu, beliau turut mempersoalkan kejadian yang sama pernah berlaku di masjid lain namun polis sehingga kini tidak mengambil apa-apa tindakan.
Katanya, ini kejadian keempat selepas insiden yang sama terjadi di Masjid Jumhuriah Taman Datuk Harun dan Masjid Taman Sentosa di Petaling Jaya pada 27 Januari tahun lalu, Masjid Al-Falahiah di Taman Desa Jaya Johor Bahru 30 Disember tahun lalu, serta Surau
Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM) April 2009 sewaktu pemilihan kampus.
Sentimen perkauman dan agama
Sementara itu, ditanya mengenai kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang turut mengecam insiden itu dan menganggap tindakan itu sebagai pengecut untuk mengapi-apikan sentimen perkauman dan agama untuk Pilihan Raya Umum 13, Ibrahim sebaliknya berkata pemimpin Pakatan Rakyat perlu menunjukkan keikhlasan lebih daripada itu.
“Saya mengalu-alukan pandangan beliau tetapi mereka perlu bertindak lebih daripada hanya sekadar memberi kenyataan bersifat gimik politik,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata setakat ini pihaknya masih
menjalankan siasatan dan memberi jaminan akan menyiasat daripada pelbagai sudut.
Katanya, kes itu disiasat dibawah 295 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencemarkan tempat sembahyang dengan niat mengaibkan agama.
Walau bagaimana pun katanya, masih tiada sebarang tangkapan dibuat.
No comments:
Post a Comment