Share |

Friday 6 January 2012

Demonstrasi cubaan ugut mahkamah, kata Dr Mahathir

Jika ahli politik pembangkang percaya kepada demokrasi, mereka perlu menunjukkan rasa hormat kepada undang-undang dalam negara.

KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan para penyokongnya perlu menghormati undang-undang dan tidak perlu mengugut mahkamah dengan cadangan mengadakan demonstrasi di ibu negara pada 9 Jan ini.

Beliau berkata demonstrasi yang dicadangkan oleh PKR itu adalah satu cara mengugut proses mahkamah dan meletakkan mereka yang terbabit dalam proses perundangan dalam keadaan tertekan.

“Kita tidak harus mempengaruhi mahkamah dengan cara ugutan, umpamanya apabila mahkamah buat keputusan yang untung bagi mereka, maka tidak ada demonstrasi,” kata beliau kepada pemberita selepas menyampaikan ucap utama kepada lebih 150 bekas pegawai tinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di sini hari ini.

Para penyokong Anwar bercadang mengadakan demonstrasi di hadapan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Jan ini, hari mahkamah memberikan keputusan terhadap kes liwat melibatkan ketua pembangkang itu sebagai tertuduh.

Dr Mahathir berkata jika ahli politik pembangkang percaya kepada demokrasi, mereka perlu menunjukkan rasa hormat kepada undang- undang dalam negara dan tidak cuma pandai bercakap tentang pelbagai peraturan yang kerajaan perlu patuhi.

“Negara ini sebenarnya mempunyai peraturan dan undang-undang tetapi pembangkang menganggapnya sebagai satu konspirasi dan mereka tidak perlu ikut.

“Mereka kata perhimpunan yang dianjurkan ini mempunyai kaitan dengan hak bersuara yang diperuntukkan oleh perlembagaan tetapi sebenarnya amat jelas bahawa tujuan mereka adalah untuk mengugut mahkamah,” kata Dr Mahathir.

Dalam ucap utamanya yang berjudul “Malaysia kini dan peranan yang boleh dimainkan oleh pegawai-pegawai tentera yang bersara hari ini,” beliau berkata Malaysia sangat bertuah berbanding negara-negara yang merdeka pada zaman penjajahan British dahulu.

Untuk menilai kejayaan Malaysia, katanya, rakyat negara ini harus melihat negara ini dari luar di mana selepas lebih 50 tahun, kestabilan berjaya diwujudkan.

“Persoalannya adakah anda semua berpuas hati dengan kejayaan ini? Atau anda sudah berputus asa dan mahu perubahan tetapi ingat, perubahan sentiasa memusnahkan. Saya pernah dituduh korup walaupun puas saya menjelaskan saya tidak korup tetapi manusia tetap percaya saya korup, itulah politik,” katanya.

Tidak demokratik

Dr Mahathir berkata ada orang menuduh kononnya kerajaan Barisan Nasional hari ini tidak demokratik dan mengamalkan pemerintahan kuku besi, tetapi yang anehnya jika benar keadaan seperti itu, Anwar tidak akan melalui proses penghakiman dan diwakili oleh sembilan orang peguam.

Beliau turut mengingatkan generasi muda hari ini bahawa mereka paling banyak menikmati kestabilan dan pembangunan yang diciptakan oleh pemimpin terdahulu.

“Kita hantar ramai generasi baru ke barat dan kerana kekayaan (negara) ini kita mampu hantar beratus ribu pelajar ke luar negara tetapi mereka terdedah kepada sistem nilai barat, dan mereka tidak nampak konsep perkongsian. Bila balik mereka lihat kita adalah kerajaan yang totalitarian,” katanya.

Dr Mahathir turut mengucapkan terima kasih kepada ATM kerana sentiasa bersikap profesional dan tidak pernah campur tangan dalam situasi politik di Malaysia.

“Anda boleh simpati dengan pembangkang tetapi bila kerja dengan kerajaan kena ikut peraturan, kalau tidak, akan ada ambil alih kuasa oleh tentera tetapi alhamdullilah, askar Malaysia askar profesional,” katanya.

Dr Mahathir mengakui beliau sukar untuk memuji seseorang tetapi sebenarnya beliau mudah untuk menghargai jasa mereka yang telah berkorban untuk negara khususnya pasukan tentera.

- Bernama

No comments: