Share |

Friday 2 September 2011

Puasa dari makan nasi, wang dan orang

Buka puasa! (Pic by Amrufm @ Flickr)
UNTUK pertama kalinya saya menyambut Ramadan di Indonesia, negara yang mempunyai rakyat beragama Islam yang teramai di dunia. Lebih kurang 90% dari penduduknya yang seramai 270 juta orang ini beragama Islam. Namun, Indonesia tidak ada undang-undang menghukum orang yang makan dan minum di khalayak ramai semasa bulan puasa.
Malah, kegiatan harian diteruskan seperti biasa. Konsert tetap dianjurkan. Saya pergi ke Konsert Iwan Fals, penyanyi terkenal yang membawa tema isu masyarakat, di bulan puasa. Warung-warung dibuka dari tengah hari. Ibu-ibu bawa anak kecil ke warung untuk diberi makan dan ada beberapa anak muda juga membeli air. Di hari menyambut kemerdekaan Indonesia baru-baru ini, banyak gerai-gerai bergerak yang menjual makanan di sekitar kawasan perarakan. Kelihatan juga beberapa orang yang makan dan minum, tetapi tidak ramai.
Apa yang tidak kelihatan adalah kerlingan tajam atau sindiran, baik dari ibu-ibu penjual di warung atau dari orang-orang sekeliling yang melihat orang yang makan dan minum. Jauh sekali dari sikap sadis untuk memalukan orang yang makan itu di khalayak ramai. Mereka biasa-biasa saja. Mungkin kerana berbaik sangka bahawa yang minum dan makan itu adalah musafir, sakit atau uzur atau berpegang pada prinsip itu isu antara dia dan Tuhan yang Maha Mengetahui.
Perlukah undang-undang mengenai puasa?
Yang nyata, walau tiada hukuman terhadap orang yang makan dan minum di bulan puasa, tidak juga membuatkan berbondong-bondong orang makan di siang hari. Saya lihat majoriti anak-anak muda dan juga ibu-ibu yang menonton konsert Iwan Fals hanya makan dan minum waktu berbuka puasa.
Bukan saja Indonesia, masyarakat Islam di negara-negara seperti India, Thailand dan England juga tetap berpuasa walau tanpa sebarang ancaman hukuman. Iman mereka tidak menggelupur tergoda melihat orang sekeliling makan dan minum di depan mata. Niat tidak perlu diucap kuat-kuat. Bila memang sudah niat mahu puasa, walau bekerja sebagai tukang masak di hotel lima bintang yang harus menghidangkan makanan yang lazat-lazat dari pagi pun, dia akan tetap berpuasa.
Tirani orang berpuasa
Pak Goenawan (Wiki commons)
Saya tertarik dengan tulisan tokoh terkenal Indonesia, Pak Goenawan Mohamad, tentang isu puasa. Beliau mengkritik bagaimana orang berpuasa yang seharusnya bersabar dan bersedia melatih diri dalam menghadapi sebarang cubaan dan ujian, justeru menjadi takut pada godaan.
Kita yang berpuasa bukan saja minta dihormati, malah orang lain dikehendaki bersedia berkorban untuk kita. Kita menghalalkan mereka yang mengambil sikap agresif dengan memaki-maki dan menghukum sesiapa saja yang boleh membuatkan dia tergoda untuk makan dan minum. Kita menjadi seperti anak manja yang rasa berhak mendapat perlindungan istimewa dari sebarang bentuk ujian, sehingga meminta Negara menghukum sesiapa saja yang berani menggoda kita.
Maka wujudlah undang-undang untuk menangkap dan mendenda orang yang makan dan minum di khalayak ramai. Warung dan restoran tidak boleh menjual makanan sebelum pukul tiga petang. Peniaga bukan Islam pun turut dikenakan tindakan kerana menjual makanan pada orang Islam di siang hari.
Padahal, puasa bukan sekadar menahan diri dari makan dan minum, tetapi juga menahan diri dari membazir, menyakiti dan menganiaya orang lain. Puasa seharusnya mengajar kita supaya menjadi orang yang sabar, beretika, baik hati, tidak sadis serta menghormati dan berbaik sangka terhadap orang lain.
Pengalaman di Indonesia
Sepanjang bulan Ramadan di Jakarta, saya menghadiri acara diskusi sebelum dan selepas berbuka puasa yang dianjurkan oleh gereja-gereja. Penceramah-penceramah undangan adalah tokoh-tokoh Islam terkemuka seperti Ahmad Syafi’I Maarif, mantan Ketua Muhammadiyah (pertubuhan Islam yang sangat besar) dan kiyai pesantren (ulama madrasah).
Gereja menyediakan ruang untuk orang-orang Islam sembahyang Maghrib. Mungkin ramai orang Islam merasa “memang sewajarnyalah begitu”. Ujian litmus untuk kita sebenarnya. Pertama sekali, apakah imam-imam kita sudi mengundang tokoh-tokoh bukan Islam untuk berdiskusi di masjid? Demikian juga, berapa ramai orang Islam yang rasa sewajarnya untuk orang Islam beri ruang pada orang Kristian atau penganut agama lain bersembahyang (menurut cara agama mereka) di dalam masjid? Jika ada yang terkedip mata, ternganga, seriau dan ngilu, maka pertanyakan kembali apakah sinar ibadah puasa telah menyirami dan meresapi jiwa kita?
Ibu Sinta Nuriyah (Wiki commons)
Saya juga menghadiri acara diskusi sebelum buka puasa di sebuah pesantren (madrasah) dengan penceramah undangan Ibu Sinta Nuriyah, isteri mantan Presiden Indonesia Abdurrahman Wahid. Ibu Sintha menganjurkan sikap toleransi dan menghormati hak berkeyakinan semua manusia, walau apa pun kepercayaan dan agama mereka. Beliau juga mengajak kita lebih peka dan cuba memahami masalah orang lain dan menahan diri dari sikap egois dan keras.
Beberapa tokoh Kristian dan Hindu juga hadir di acara itu. Walaupun Ibu Sinta gembira berdiskusi dengan tokoh-tokoh agama dan penduduk di Bogor, namun beliau sebenarnya terkejut kerana beliau lebih mengharapkan dapat berbuka puasa bersama golongan miskin dan yang termaginalisasi seperti yang biasa beliau lakukan.
Ibu Sintha  memang sering bersahur dan berbuka puasa dengan golongan yang terpinggir dan masyarakat berpendapatan rendah seperti peniaga pasar, penarik beca dan penyapu sampah. Beliau berdialog bersama mereka dan makan apa yang mereka makan, di tempat mereka hidup dan bekerja, sama ada di pasar atau di bawah jambatan. Sangat mudah untuk mengadakan “open house” dan mengundang masyarakat yang miskin.
Akan tetapi, memerlukan kerendahan hati yang tulus untuk pergi memasuki alam masyarakat miskin dan turut sama merasakan kejerihan hidup yang mereka lalui. Saya tidak pernah dengar ada pembesar-pembesar atau tokoh-tokoh agama di Malaysia yang berbuat perkara yang sama.
Kayu ukur kejayaan puasa
Dengan hanya memastikan umat Islam berpuasa di bulan Ramadan, apakah ia simbol kejayaan penguatkuasa dan tokoh-tokoh agama? Apakah kayu ukur untuk menilai kejayaan ibadah puasa itu? Apakah masyarakat Islam langsung lebih berjimat dalam perbelanjaan, tidak membazir, tidak sombong dan angkuh, tidak mengambil rasuah dan menyalahgunakan kuasa serta lebih terdorong untuk membantu memperbaiki mutu kehidupan orang yang lemah, miskin atau tidak berupaya?
Apakah umat Islam mula melihat dunia dari kacamata yang penuh kasih sayang, empati, memahami dan bertolak ansur serta lebih bersemangat untuk menegakkan keadilan dan mempertahankan hak orang tertindas? Seorang kiyai pesantren mengingatkan puasa bukan sekadar tidak makan nasi, tetapi juga tidak makan wang dan tidak makan orang.
Dalam hal-hal ibadah yang berkaitan dengan Tuhan, ia adalah hubungan peribadi antara makhluk dan Tuhannya. Justeru, hanya Allah swt sahaja yang menghakimi nilai ibadah kita dan hanya terpulang kepadaNya untuk menerimanya.
Tugas Negara adalah mewujudkan mekanisma mantap yang dapat melindungi manusia dari sebarang bentuk penganiayaan dan kezaliman. Banyak lagi hal-hal kemanusiaan yang belum beres, seperti bagaimana memastikan orang-orang yang lemah, teraniaya dan terpinggir serta golongan minoriti mendapatkan keadilan, hak dan bantuan. Bagaimana undang-undang dapat memastikan golongan minoriti seperti penganut agama dan kepercayaan lain terjaga haknya? Bagaimana memastikan para isteri dan anak-anak tidak didera, dizalimi dan teraniaya?
Apakah makna puasa?
(sxc.hu)
Yang pasti, kejayaan puasa bukan sekadar menahan diri dari makan dan minum selama sebulan. Puasa juga tentunya bukan untuk meingkatkan sifat ke’aku’an sehingga kita menjadi orang yang terlalu mementingkan diri sendiri. Apalah makna puasa pada:
  bapa-bapa yang enggan bayar harta sepencarian serta nafkah pada bekas isteri dan anak-anak;
  suami-suami berpoligami yang masih tidak berlaku adil pada isteri-isteri dan ana-anaknya;
  orang-orang yang sentiasa buruk sangka malah memfitnah dan menzalimi penganut agama lain;
  orang yang tetap mengambil rasuah dan menyalahgunakan kuasa; dan,
  orang yang masih menyakiti orang lain samada secara emosi, mental atau fizikal.
Di bulan Ramadan yang mulia ini kita menyaksikan Ezam Mohd Noor dan Datuk Ibrahim Ali yang mengambil sikap keras dalam menghadapi isu.  Atas nama Islam, mereka merasa berhak mengugut untuk membakar bangunan-bangunan media yang mereka tidak senangi.
Masya’allah … apakah makna puasa?

No comments: