Share |

Monday 19 September 2011

Perkasa mahu elemen ISA dikekalkan

"Kalau ia melalui proses kehakiman, ia akan mengambil masa yang begitu lama hanya untuk menentukan sama ada bersalah atau tidak," kata Ibrahim Ali.

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) berpendirian pihaknya tidak akan menyokong akta keselamatan negara yang baru jika semangat elemen ‘pencegahan’ yang ada dalam Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tidak dikekalkan.

Presidennya yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibahim Ali berkata elemen tersebut amat penting dan selama ini terbukti berkesan
dalam menangani isu keselamatan negara.

Mengambil contoh isu ajaran sesat Ayah Pin, Al-Arqam, pemalsuan kad pengenalan dan kad kredit serta kegiatan subversif, Ibrahim berkata
adalah wajar pencegahan melalui penahanan tanpa bicara mengikut ISA dikenakan.

“Kalau ia melalui proses kehakiman, ia akan mengambil masa yang begitu lama hanya untuk menentukan sama ada bersalah atau tidak.

“Mungkin dalam tempoh kehakiman itu keselamatan negara kita terancam. Kita tak mahu ia terjadi baru nak putuskan hukuman.

Kita mahu ia dibendung segera sebelum terjadi apa-apa yang lebih buruk,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat tergempar Perkasa di sini hari ini.

Namun katanya, hak kebebasan seseorang perlu diambil kira seperti kaedah penyiasatan dan tempoh lawatan keluarga semasa dalam tahanan.

Selain itu, beliau turut mengingatkan kerajaan supaya tidak tunduk dengan tuntutan mana-mana pihak untuk mewujudkan akta baru bagi menggantikan ISA.

“Jangan ikutkan pembangkang dan jangan ikutkan kepentingan politik peribadi semata-mata nak menang undi,” katanya sinis.

Hak mutlak rakyat 


Sehubungan itu, beliau menggesa agar kerajaan berunding dengan rakyat terlebih dahulu sebelum akta baru tersebut digubal kerana baginya isu keselamatan adalah hak mutlak rakyat.

Beliau juga berkata pihaknya akan berjumpa dengan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein untuk mengemukakan memorandum dalam masa terdekat meminta maklum balas mengenai prinsip asas akta baru itu.

Sementara itu, beliau juga mahu kerajaan meneliti semula Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) 1974 serta Akta Rahsia Rasmi (OSA) untuk dimansuhkan.

“Apa lagi yang nak ditakutkan dengan AUKU dan OSA jika ISA sudah dimansuhkan,” soalnya sambil menyokong pembaharuan lesen akhbar dalam Akta Mesin Cetak dan Penerbitan dan kebebasan berhimpun dalam Akta Polis dimansuhkan.

No comments: