Sinar Harian
oleh SYAHREDZAN JOHAN
oleh SYAHREDZAN JOHAN
Tahukah
anda pada ketika ini, negara kita berada dalam keadaan darurat? Jangan
terperanjat, ini diakui sendiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri
di Parlimen.
Beliau
menyatakan, terdapat dua Perisytiharan Darurat iaitu pada 1964 dan 1969
yang berkuat kuasa di seluruh negara dan masih belum ditamatkan.
Menurut
Perkara 150(1) Perlembagaan Persekutuan, jika YDPA berpuas hati bahawa
suatu darurat besar yang sedang berlaku dan keselamatan, atau kehidupan
ekonomi, atau ketenteraman awam dalam negara adalah terancam oleh
kerananya, maka baginda boleh mengeluarkan suatu Perisytiharan Darurat.
Apabila
Perisytiharan Darurat diumumkan, YDPA boleh memasyhurkan apa-apa
ordinan sebagaimana yang didapatinya perlu mengikut hal keadaan.
Maknanya, undang-undang (yang dikenali sebagai ‘ordinan darurat’) boleh
digubal tanpa perlu diluluskan oleh Parlimen dan undang-undang ini akan
mempunyai kesan seperti sebuah Akta Parlimen sehinggalah ia dibatalkan
atau dimansuhkan.
Lebih
penting lagi, apa-apa ordinan darurat yang dimasyhurkan adalah sah
walaupun ia tidak konsisten dengan mana-mana peruntukan Perlembagaan,
melainkan percanggahan itu adalah berkenaan dengan agama,
kewarganegaraan atau bahasa. Oleh itu, suatu ordinan darurat boleh
menggantung kebebasan dan hak asasi kita yang termaktub dalam
Perlembagaan dan ia adalah sah.
Contoh
ordinan darurat yang telah dimasyhurkan ialah Ordinan Darurat
(Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969 yang sering kali digunakan
untuk menahan seseorang tanpa bicara.
Seksyen
3 ordinan tersebut memberi kuasa kepada pihak polis untuk menahan tanpa
bicara seseorang atas dasar mencegah ancaman terhadap ketenteraman awam
atau jenayah melibatkan keganasan selama tidak lebih dari 60 hari. Ini
dipanggil ‘penahanan polis’. Manakala Seksyen 4 ordinan tersebut pula
memberi kuasa kepada Menteri Dalam Negeri untuk mengeluarkan perintah
bagi menahan seseorang tanpa bicara untuk suatu tempoh yang tidak
melebihi dua tahun. Ini dipanggil ‘Perintah Tahanan’. Perintah Tahanan
ini boleh diperbaharui berkali-kali tanpa had.
Jika
dilihat, kuasa-kuasa diberikan kepada polis dan Menteri Dalam Negeri di
bawah ordinan tersebut adalah sama dengan yang diberikan di bawah Akta
Keselamatan Dalam Negeri atau ISA. Kedua-duanya memberi kuasa kepada
pihak berkuasa untuk menahan seseorang itu tanpa bicara.
Tahanan
selalunya akan memfailkan permohonan habeas corpus di Mahkamah untuk
mendapatkan perintah bahawa penahanan mereka tidak mengikut
undang-undang (unlawful detention). Sekiranya penahanan itu hanya
penahanan polis di bawah Seksyen 3, masih ada peluang untuk berjaya
kerana pihak polis harus memberi justifikasi objektif mengapa mereka
menahan.
Tetapi,
sekiranya ia adalah Perintah Tahanan di bawah Seksyen 4, menteri tidak
perlu memberi justifikasi, sudah cukup beliau berpuas hati terdapat
sebab-sebab untuk menahan dan Mahkamah tidak akan mempersoalkan
sebab-sebab tersebut.
Di
samping itu, Seksyen 7C ordinan tersebut menyatakan Mahkamah tidak
boleh mempersoalkan atau menyemak semula bidang kuasa menteri kecuali
terdapat kekhilafan dari segi prosedur, contohnya jika Perintah Tahanan
tidak ditandatangani.
Oleh
sebab itu, peguam yang mewakili tahanan akan sentiasa memohon supaya
bicara permohonan habeas corpus dipercepatkan sebelum Perintah Tahanan
dikeluarkan oleh menteri. Secara jujur, adalah mustahil untuk mana-mana
pihak memberi justifikasi mengapa negara ini masih berada di bawah
keadaan darurat. Tidak ada perintah berkurung, tidak ada keadaan
berbahaya, tidak ada apa-apa mengancam keselamatan, kehidupan ekonomi
atau ketenteraman awam. British telah lama pulang, komunis militan tidak
lagi berjuang dan kita tidak berperang dengan mana-mana negara.
Maka,
keadaan darurat yang membelenggu negara ini sewajarnya ditamatkan
dengan serta-merta. Jika tidak, bagaimana hendak terangkan kepada dunia
bahawa negara Truly Asia ini masih berada dalam darurat yang berdekad
lamanya?
No comments:
Post a Comment