Share |

Monday, 15 August 2011

JAIS serah laporan awal kepada MB

Utusan Malaysia

SHAH ALAM 13 Ogos - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah menyerahkan laporan awal berhubung pemeriksaan yang dilakukan agensi penguat kuasa itu di Gereja Methodist, Damansara Utama, Petaling Jaya baru-baru ini kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menurut sumber, laporan yang mengandungi maklumat mengenai bagaimana pemeriksaan dilakukan JAIS terhadap gereja itu dan mereka yang berada di dalamnya diserahkan kepada Abdul Khalid minggu lalu.

Kata sumber itu, JAIS kini sedang melengkapkan siasatannya berdasarkan pemeriksaan yang dilakukan.

"Laporan yang dihantar ke Menteri Besar hanya laporan awal dan laporan lengkap sedang disiapkan. Selepas siap kita akan hantar laporan itu kepada pihak yang berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Pada 3 Ogos lalu, pasukan penguat kuasa JAIS menjalankan pemeriksaan di Dream Centre milik Gereja Methodist Damansara Utama dekat Petaling Jaya.

Bagaimanapun, pemeriksaan gereja tersebut menjadi isu hangat apabila Abdul Khalid memberikan kenyataan yang bercanggah dengan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat Istiadat Melayu dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Dr. Hasan Mohd. Ali.

Abdul Khalid menyatakan kekesalan dengan insiden itu dan mahu laporan penuh diberikan kepada beliau sementara Hasan pula menyokong tindakan JAIS yang membuat pemeriksaan selepas mendapat bukti berlaku penyebaran agama bukan Islam ke atas penganut Islam.

Keadaan bertambah panas apabila Abdul Khalid dikatakan meminta semua Exconya tutup mulut mengenai pemeriksaan tersebut sementara Hasan pula sanggup dipecat kerana melanggar arahan itu apabila mengeluarkan kenyataan menyokong JAIS.

Ekoran kontroversi yang berlaku, banyak pihak yang tampil menyokong JAIS dan Hasan serta mempertikaikan kredibiliti Abdul Khalid sebagai pemimpin beragama Islam.

No comments: