Berita Harian
Oleh Khairul Anuar Abdul Samad dan Khairul Azran Hussin
Oleh Khairul Anuar Abdul Samad dan Khairul Azran Hussin
Gagal hadir bantu siasatan dakwaan gereja sebar agama terhadap orang Islam
SHAH
ALAM: Seramai 12 individu beragama Islam yang hadir pada satu majlis di
Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC), Petaling Jaya, yang sepatutnya
memberi keterangan di Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di sini,
semalam gagal berbuat demikian walaupun pihak berkuasa agama itu sudah
menyerahkan surat dan menelefon mereka untuk memberi kerjasama.
Sehubungan
itu, Penolong Pengarah Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JAIS,
Sharom Maarof, berkata pihaknya akan mengeluarkan waran tangkap terhadap
mereka dalam tempoh terdekat ini.Beliau berkata, tindakan itu diambil
selepas mereka enggan memberikan kerjasama walaupun pihaknya sudah
menyerahkan surat termasuk menelefon untuk hadir.
“JAIS
akan memohon waran tangkap dalam tempoh 24 jam daripada Mahkamah
Syariah selepas surat dikeluarkan hari ini (semalam). Sepatutnya mereka
hadir membantu siasatan, tetapi seorang pun tiada.
“Kita
tetap beri masa kepada mereka dan mereka boleh hubungi JAIS pada
bila-bila masa untuk hadir, tetapi tidak berbuat demikian,” katanya
ketika dihubungi di sini, semalam.
Baru-baru ini, JAIS menyerbu DUMC di Petaling Jaya selepas mendapat maklumat orang Islam menghadiri majlis di gereja berkenaan.
Ketika
serbuan dilakukan kira-kira jam 9 malam, seseorang sedang mengadakan
pengucapan awam yang diselitkan perkataan al-Quran dan terdapat bukti
kegiatan penyebaran agama bukan Islam terhadap penganut Islam.
Pengerusi
Jawatankuasa Tetap Hal-Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan
Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali, berkata anggota
penguat kuasa JAIS bersama polis menjalankan pemeriksaan di premis itu
dihalang penganjur.
Mengulas
lanjut, Sharom berkata, pihaknya difahamkan semua mereka dinasihatkan
oleh peguam masing-masing untuk tidak hadir membantu siasatan JAIS
berhubung perkara terbabit.
Sementara
itu, Pengarah JAIS, Marzuki Hussin melalui satu SMS yang dihantar
kepada pemberita meminta semua pihak bertenang mengenai isu terbabit.
“JAIS
meminta semua pihak bertenang berhubung dengan pemeriksaan ke atas DUMC
sehingga kertas siasatan selesai. Buat masa ini pihak JAIS masih dalam
siasatan berhubung kes itu,” katanya.
Di
KOTA BHARU, Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri
Noh Omar, berkata parti itu tidak harus dikaitkan dengan tindakan JAIS
memeriksa DUMC, kerana tindakan itu mengikut peruntukan undang-undang.
Katanya,
sekiranya JAIS tidak mengikut undang-undang, pihak gereja terbabit
sudah tentu boleh mengambil tindakan dengan menyaman agensi berkenaan.
“Bagi
pandangan saya, JAIS sudah tentu bertindak mengikut undang-undang,
kalau tidak sudah tentu boleh disaman kerana menceroboh dan semua pihak
perlu faham agensi terbabit cuba menyelesaikan masalah,” katanya selepas
menyampaikan Bantuan Wang Ihsan Banjir 2010 kepada Petani Lembaga
Kemajuan Pertanian Kemubu, di sini semalam.
Sementara
itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasruddin Hassan mengingatkan semua
pihak supaya menghormati Islam sebagai agama rasmi dan tidak menjalankan
aktiviti yang boleh menggugat akidah umat Islam.
Beliau berkata, pihaknya juga berpuas hati dengan penjelasan diberikan oleh Hasan berhubung tindakan JAIS.
“Beliau
(Hasan) cakap ada bukti kukuh tapi saya tidak tengok bukti itu sebab ia
masih dalam siasatan,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan
Hasan berhubung serbuan gereja itu, di sini.
No comments:
Post a Comment