Share |

Sunday, 14 August 2011

Dekan UM: Alasan SPR tolak tuntutan Bersih 2.0 memalukan

KAJANG, 13 Ogos — Seorang dekan Universiti Malaya hari ini membidas alasan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menolak lapan tuntutan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) sambil menyifatkan ia satu keputusan “memalukan.”

Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial Prof Dr Redzuan Othman berkata tindakan SPR menolak untuk melaksanakan tidak wajar kerana kesemua tuntutan itu boleh dilakukan badan pengurusan pilihan raya itu.

Lapan tuntutan Bersih 2.0 adalah agar SPR membersihkan daftar undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minimum 21 hari, diperkukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.

“Jawapan yang diberikan tidak melambangkan satu intelektual dalam SPR yang mana SPR kata tidak boleh (laksanakan), akses media dia (SPR) kata parti politik boleh gunakan media elektronik, tempoh kempen... SPR kata melibatkan soal keselamatan.

“Dalam pilihan raya umum di Malaysia, saya lihat sejak 1974 tidak ada satu pergaduhan dan tiada pertumparan darah, kalau ada pun disebabkan kemalangan semasa pilihan raya,” katanya pada forum Reformasi Pilihan Raya dan Pemurnian Demokrasi anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) di Kolej Dar Al-Hikmah, Sungai Ramal Dalam di sini.

Justeru tegas Redzuan, SPR perlu memandang serius tuntutan yang dikemukakan Bersih 2.0 sehingga membawa perhimpunan aman pada 9 Julai lalu di ibu negara.

“Isu keselamatan bukan alasan untuk kurangkan tempoh berkempen, undi pos pula SPR kata ramai pelajar kita di luar negara tapi dulu, semasa saya masih belajar di luar negara, semasa tiba pilihan raya saya pergi ke kedutaan (untuk mengundi) tapi tiada, saya tidak mahu sebut tuntutan lain...hujah yang diberikan SPR memalukan.

“Proses pilihan raya harus melambangkan rakyat merasakan keadilan, peranan SPR, saya lihat dalam soal tempoh berkempan dulu sejak 1955 tempoh berkempen selama 42 hari, kemudian pada 1969 35 hari, pada 2004 tempoh dipendekkan kepada lapan hari ini benarkan Barisan Nasional (BN) menang besar begitu juga dengan akses media, pembangkang tidak dapat akses media,” katanya.

Selain Redzuan, turut menjadi ahli panel adalah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah dan Pengarah Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (Ideas) Wan Mohd Firdaus Wan Mohd Puaad.

Sebelum ini Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berkata pihaknya tidak boleh melaksanakan tuntutan Bersih 2.0 dengan alasan tidak mempunyai kuasa.

Justeru beliau meminta Bersih 2.0 yang dipengerusikan Datuk Ambiga Sreenevesan agar mengemukakan lapan tuntutan berkaitan pembaharuan sistem pilihan raya kepada Putrajaya, bukannya kepada agensi itu.
Jelas Wan Ahmad, SPR tidak mempunyai sebarang kuasa untuk melaksanakan lapan tuntutan itu kerana ia terikat dengan undang-undang dan peraturan yang ditetapkan.

Lebih menjurus kepada lapan tuntutan Bersih 2.0 terutamanya akses media yang bebas dan adil, Redzuan meminta agar Putrajaya mencontohi Singapura yang membenarkan semua calon bertanding mendapat kebebasan media termasuk melalui televisyen.

“Kenapa kita tidak ikut Singapura, parti-parti politik diberi peluang untuk mendapat akses media, walaupun sehari sebelum hari mengundi semua calon tidak dibenarkan berkempen, namun mereka diberi peluang untuk bercakap di televisyen.

“Tapi di Malaysia media menggambarkan suasana pilihan raya sebagai perang, media memberikan gambaran yang tidak elok tentang pembangkang... tuntutan adalah tuntutan rakyat Malaysia, masyarakat sekarang tidak sama dengan masyarakat dulu... masyarakat hari ini tidak mahu diperbodohkan,” katanya.

Isu pengurusan pilihan raya semakin hangat baru-baru selepas Pakatan Rakyat mendedahkan banyak kepincangan dan penyelewengan dalam daftar pemilih termasuk tindakan menukar status kewarganegaraan pemastautin tetap kepada warganegara dalam tempoh yang singkat.

Bagaimanapun perkara itu dinafikan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan SPR.
Pakatan Rakyat turut meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengadakan sidang tergempar Parlimen bagi membahaskan perkara itu.

Pada sidang media semalam, SPR menafikan dakwaan bahawa badan pengurusan pilihan raya itu sengaja membenarkan pemastautin tetap menjadi pengundi yang sah.

Sebaliknya, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, ia hanya kesilapan teknikal yang berlaku semasa proses pendataan JPN namun dikecam PAS.

No comments: