Share |

Tuesday, 9 August 2011

Betulkah pemastautin diberi hak mengundi?

8 OGOS — Isu besar yang hangat diperkatakan hari ini ialah isu pendatang asing yang menjadi pemastautin telah diberikan kerakyatan dan terus diberikan hak mengundi.

Ahli-ahli Parlimen pembangkang telah menghantar surat hari ini untuk mendesak persidangan Parlimen tergempar dipanggil untuk membincangkan isu seramai 1,600 orang pemastautin tetap yang dikatakan diberikan kerakyatan penuh untuk memudahkan mereka menjadi pengundi semasa pilihan raya umum yang akan datang.

Jika isu ini benar ia merupakan isu yang sangat besar dan merbahayakan negara serta Sistem Raja Berpelembagaan Negara kita. Kita sedang menghadapi masalah besar di Sabah tentang isu ini dan kita masih lagi tidak mahu belajar dari kesilapan ini semata-mata kerana ingin mempertahankan kuasa yang kita anggap sudah sampai ketepian itu.

Isu pendatang asing menjadi pengundi ini memang telah lama kita dengar malahan ada di antara rakan saya sendiri pernah di tahan kerana dituduh mengeluarkan kad pengenalan palsu untuk kegunaan dalam pilihan raya. Jika apa yang dituduh ini benar ianya serupalah seperti memanggil orang luar untuk membantu memerangi bangsa dan rakyat kita sendiri.

Saya tidak pasti kebenaran tuduhan ini tetapi jika benar maka sesiapa yang mempunyai pemikiran seperti ini adalah rakyat yang paling tidak bertanggungjawab dan tidak ada kata-kata untuk diberikan terhadap mereka ini. Tindakan itu adalah satu tindakan yang sehina-hinanya yang tidak ada tolok bandingnya.

Tetapi jika ada ahli-ahli Parlimen meminta supaya dipanggil persidangan tergempar untuk membincangkan isu ini maka ianya merupakan satu perkara dan isu yang sangat besar yang pada jangka masa panjangnya akan merbahayakan keselamatan negara kita ini.

Membincangkan isu ini di Dewan Parlimen merupakan jalan yang terbaik supaya tidak ada pihak-pihak yang akan menuduh kita melakukan tindakan jalanan untuk membuat tuntutan terhadap sesuatu isu itu. Jika boleh kita tuntut juga supaya persidangan itu di adakan secara langsung bagi rakyat melihat dan membuat penilaian terhadap isu ini.

Jika benar perkara ini di lakukan oleh pihak pemerintah sebagai cara untuk mendapatkan undi dalam pilihan raya nanti, maka ianya memberikan lagi bukti yang pemerintah sekarang sendiri tahu yang mereka sedang ditolak oleh rakyat. Mereka terpaksa menggunakan rakyat negara lain untuk memberikan undi kepada mereka bagi meneruskan pemerintahan cara yang sama-sama kita lihat pada hari ini.

Kita berharap tuduhan ini tidak benar kerana jika benar ianya merupakan signal jelas kepada kita yang parti yang menggunakan pendatang asing untuk dijadikan pengundi secara kilat ini adalah parti yang tidak lagi patut mendapat sokongan rakyat tempatan yang asal.

Tindakan ini jika ada kebenarannya walaupun sedikit akan akhirnya menjadikan politik negara ini sebagai medan pertembungan di antara rakyat asal dan rakyat pendatang. Jangan pula nanti pilihan raya nanti akan menjadi pilihan raya di antara pendatang asing yang di sokong oleh Barisan Nasional dan rakyat asal negara yang disokong oleh Pakatan Rakyat.

Walau bagaimana pun elok kita tunggu persidangan tergempar ini berlalu terlebih dahulu. Datuk Seri Nazri Aziz yang telah menerima surat dari ahli-ahli Parlimen pagi tadi menyatakan tidak ada masalah untuk mengadakan persidangan tergempar itu. Surat itu akan di berikan kepada Datuk Seri Najib selepas berbuka puasa petang nanti.

Marilah kita berdoa supaya negara kita tidak akan menghadapi malapetaka seperti yang dihadapi oleh banyak negara kerana pendatang asing ini. — aspanaliasnet.blogspot.com

* This is the personal opinion of the writer or publication. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified.

No comments: