Kerjasama itu perlu bagi membolehkan polis mendapat gambaran sebenar kejadian yang berlaku, kata Timbalan Ketua Polis Negara.
Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata kerjasama itu perlu bagi membolehkan polis mendapat gambaran sebenar kejadian yang berlaku setelah banyak pihak mendakwa kekasaran polis semasa menangani perhimpunan itu.
“Kita akan siasat secara telus, terperinci dan polis tidak akan sembunyikan apa-apa fakta yang benar,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Bengkel Banteras Kecurian Kenderaaan di Malaysia di sini, hari ini.
Sehubungan itu, beliau berkata polis menubuhkan enam jawatankuasa yang diketuai seorang pegawai kanan bagi menyiasat enam dakwaan kezaliman polis ketika bertugas menangani perhimpunan tersebut.
“Siasatan akan diselesaikan secepat mungkin dan polis telah panggil beberapa saksi untuk siasat enam tohmahan itu.
“Polis ingin tahu tohmahan itu benar ataupun tidak. Bagaimanapun tohmahan yang disiasat itu tidak termasuk kejadian di Hospital Tung Shin,” katanya.
Khalid berkata sekiranya perlu polis bersedia menayangkan video mengenai kejadian sebenar yang berlaku pada perhimpunan itu.
“Sekiranya perlu kita akan siarkan video itu selepas jawatankuasa yang ditubuhkan selesai menyiapkan laporan berhubung perhimpunan itu,” katanya.
Mengulas mengenai tangkapan yang dilakukan ketika perhimpunan itu, Khalid berkata tangkapan yang dilakukan adalah mengikut undang-undang, jika mereka yang ditahan tidak berpuas hati dengan tugas polis, perkara itu boleh dibawa ke mahkamah.
“Tangkapan yang dilakukan kebanyakannya kerana memakai baju Bersih (Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil)…sebahagian besar tangkapan telah dibebaskan tanpa syarat dan sebahagian lagi kita siasat sebab ajak orang berhimpun.
Sementara itu, Khalid turut meminta mana-mana pihak yang mempunyai bukti dakwaan kematian pemandu teksi Baharudin Ahmad, 59, akibat gas pemedih mata ketika menyertai perhimpunan itu supaya menyerahkan bukti itu kepada polis.
“Kalau ada bukti tunjukkanlah…jangan sebarkan dakwaan itu tanpa ada kesahihan,” katanya.
Sebelum ini, polis mengesahkan kematian Baharudin itu yang menyertai perhimpunan haram di kawasan KLCC pada 9 Julai adalah akibat komplikasi jantung dan bukan berpunca daripada gas pemedih mata seperti didakwa pihak tertentu.
- Bernama
No comments:
Post a Comment