Share |

Wednesday, 20 July 2011

Islam tolak pluralisme agama

Hanya ada satu agama yang memiliki wahyu yang lengkap dan sempurna iaitu Islam.

PETALING JAYA: Islam menolak faham “pluralisme agama” yang mendakwa bahawa kesemua agama adalah sama baik dan sama benar, kata Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau berkata, hanya ada satu agama yang memiliki wahyu yang lengkap dan sempurna iaitu Islam, bertepatan dengan beberapa firman Allah SWT, misalnya ayat 3 Surah al-Ma’idah.

Firman Allah SWT bermaksud: Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu dan Aku redha Islam itu menjadi ugama untuk kamu.”

“Walaupun demikian katanya, Islam mengiktiraf bahawa masih terdapat hakikat, kebenaran, kebaikan, dan keindahan etika yang terkandung dalam agama-agama yang lain,” katanya.

Tun Abdullah, bekas perdana menteri, berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Al-Quran dan Cabaran Pluralisme Agama: Pengajaran Masa Lalu, Keperihalan Semasa dan Hala Tuju Masa Depan di Dewan Besar Ikim, Kuala Lumpur pagi tadi.

Seminar ini adalah anjuran Ikim dengan sokongan Jabatan Perdana Menteri Bersempena Majlis Tilawah Al- Qur’An Peringkat Antarabangsa Kali Ke-53.

Beliau menegaskan, sementara Islam melarang sikap yang menjadikan agama sebagai bahan ejekan dan bahan permainan, Islam juga sentiasa mengalu-alukan sikap saksama, jujur, dan berintegriti dari manapun datangnya.

“Kebaikan dan keindahan etika ini seharusnya digembeling untuk menjulang masyarakat Malaysia ke arah yang lebih baik,” jelas beliau.

Menurutnya, perpaduan rakyat perlu dipupuk secara menggalakkan keunikan tradisi agama masing-masing sambil menggalakkan sikap saling bermuhibbah, saling berbelas-kasihan, dan saling berkasih-sayang sebagai saudara sesama jiran dan saudara sesama manusia yang berasal dari jiwa yang satu, walaupun menganut agama yang berbeza.

“Isu-isu antara penganut agama perlu diselesaikan dengan seadil-adilnya, secara saksama dan dalam semangat saling hormat- menghormati terhadap lunas-lunas agama yang universal sifatnya,” terangnya.
Beliau berkata, para penganut pelbagai agama juga harus digalakkan berlumba-lumba dalam melaksanakan kebaikan.

“Contohnya dalam bentuk membela golongan fakir-miskin dan golongan yang memerlukan, menyuruh yang ma‘ruf, dan mencegah yang munkar, sama ada kepada rakyat biasa ataupun kepada pemimpin, dengan kaedah yang wajar, sopan, jujur dan tulus,” katanya.

1 comment:

Anonymous said...

what happen to your pisslam hadhari