Share |

Thursday, 23 June 2011

Perkasa pertikai sikap berat sebelah Majlis Peguam

Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 21 Jun - Tindakan Majlis Peguam mengecam tindakan penyokong Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) memijak dan membakar gambar Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Datuk Ambiga Sreenevasan membuktikan majlis itu mengamalkan sikap berat sebelah.

Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hassan Syed Ali berkata, majlis tersebut sebelum ini tidak pernah mengkritik atau mengecam tindakan beberapa pihak yang melakukan perkara sama ke atas gambar Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain berhubung isu Interlok.

"Menurut kenyataan Presiden Majlis Peguam, Lim Chee Wee, apa yang dilakukan penyokong Perkasa itu merupakan satu tindakan yang langsung tidak menggambarkan sifat rakyat Malaysia yang kaya dengan nilai ketimuran.

"Perkasa nak tanya Chee Wee, mengapa bila ada pihak membakar gambar Sasterawan Negara (Abdullah), Majlis Peguam tidak pernah kritik atau kecam mereka?

"Mengapa bila bakar gambar orang Melayu, Majlis Peguam diam seribu bahasa?" katanya dalam satu kenyataan kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mengenai gesaan Chee Wee supaya Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali dikenakan tindakan di bawah Akta Hasutan kerana mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan berhubung perhimpunan haram Bersih 9 Julai ini, Syed Hassan berkata, ia adalah hak Presiden Majlis Peguam itu untuk melahirkan rasa bimbang.

"Perkasa sedar Chee Wee merujuk kenyataan Ibrahim di portal berita propembangkang yang tidak tepat.

"Tetapi, Perkasa juga mahu Chee Wee meminta kerajaan mengambil tindakan sama ke atas Ambiga kerana menghasut rakyat berhimpun di jalan raya.

"Bukankah Chee Wee tahu Bersih tidak mendapat permit dan Chee Wee juga tahu Ambiga terus menghasut rakyat turun ke jalan raya," soalnya.

Ujar Syed Hassan, apa yang dilakukan Ambiga itu adalah satu kesalahan hasutan dan ia juga melanggar undang-undang negara.

"Jadi, mengapa hanya menyalahkan Ibrahim seorang? Apakah Majlis Peguam memilih bulu? Dan, apakah Majlis Peguam merupakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memihak kepada sebelah pihak sahaja?," soalnya.

No comments: