Share |

Monday, 20 June 2011

Anak muda perlu dibarisan hadapan Himpunan Bersih

Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru anak muda supaya tidak gentar menghadapi tekanan daripada pihak berkuasa semasa himpunan akan datang termasuk ditangkap polis dan dihumbankan ke penjara.

SHAH ALAM: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru anak muda turun menyertai Himpunan Bersih 2.0 dan berada dibarisan paling hadapan pada 9 Julai nanti.

Berucap di Himpunan Rapat Anak Muda 13.0 Angkatan Muda Keadilan (AMK), Anwar berkata golongan tersebut merupakan simbolik berdasarkan faktornya yang paling utama dalam menentukan kejatuhan pemerintahan Barisan Nasional (BN) semasa Pilihan Raya Umum (PRU13) akan datang.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ketua Umum PKR menyeru anak muda supaya tidak gentar menghadapi tekanan daripada pihak berkuasa semasa himpunan akan datang termasuk ditangkap polis dan dihumbankan ke penjara.

“Sekarang masanya kita bertempur dalam gelanggang lawan. Ya mungkin ada yang akan ditangkap ‘so what’? Apa yang menghairankan?

“Rakyat akan bersama kita dalam menumbangkan kezaliman Umno-BN,” laungnya yang turut diiringi sorakan kira-kira 1,000 AMK di Dewan Jubli Perak di sini malam tadi.

Beliau turut meramalkan himpunan dalam menuntut sebuah pilihan raya yang adil itu nanti menjadi satu titik tolak revolusi dalam sejarah negara sama seperti apa yang berlaku di beberapa negeri Timur Tengah termasuk Mesir dan Tunisia.

“Perubahan itu pasti berlaku dengan kesedaran rakyat, dengan desakan supaya soal survival yang djamin dalam Perlembagaan dikembalikan,” katanya.

‘Anak muda jangan takut’ 


Sementara itu, Ketua AMK Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata anak muda perlu buang persepsi takut dengan tekanan undang-undang termasuk dipenjarakan jika mahu berjuang menuntut sistem demokrasi pilihan raya yang adil.

Menyahut cabaran Anwar yang mahu anak muda dibarisan hadapan, Shamsul berkata anak muda seperti ‘bom jangka’ yang tidak akan tunduk dengan desakan kerajaan.

“Kalau tak dapat, kita akan guna cara jalan raya. Jangan cabar kita guna jalan raya untuk jatuhkan kerajaan,” katanya.

Selain itu, Shamsul turut memberi jaminan terhadap mana-mana ahlinya yang aktif dan berani kehadapan akan mendapat peluang menjadi calon dalam pilihan raya nanti.

Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya akan membuat usul kepada pimpinan tertinggi parti supaya AMK diberikan peluang sebanyak 60 peratus menjadi calon kerana mahu negara ini dipimpin oleh orang muda yang berkebolehan.

Himpunan anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) merupakan himpunan kedua selepas tahun 2007 membuat tujuh tuntutan termasuk menghantar memorandum kepada Yang diPertuan Agong supaya diadakan pilihan raya yang adil.

No comments: