Sebuah novel yang terbit pada 2002 sedang dimurnikan untuk diterbitkan semula.
COMMENT
Novel ‘Panchayat’ (2002) adalah novel pertama yang saya terbitkan sendiri iaitu selepas menerbitkan kumpulan cerpen ‘Sasterawan Pulau Cinta’ (2001) dan antologi cerpen ‘Vanakam’ (2002).
Tempoh dari tahun 2002 hingga sekarang bukan suatu tempoh yang lama. Namun, sistem bahasa memang sudah mengalami sedikit perubahan. Pada masa sama, perlu juga diakui bahawa terdapat beberapa sesilapan dalam novel edisi 2002 yang wajar dibetulkan sekiranya mahu diterbitkan semula.
Itulah yang saya lakukan sebagai langkah pertama menerbitkan semula Panchayat sebagai ‘Panchayat: Edisi Khas’.
Panchayat adalah majlis timbang cara dalam amalan hidup kaum India yang diwarisi daripada nenek-moyang di Benua Kecil India. Tarafnya lebih kurang seperti mahkamah penghulu dalam kalangan orang Melayu, tetapi tidak sama.
Pada asalnya, panchayat diwakili oleh lima (panca) orang warga tua terhormat di kampung berkenaan. Akan tetapi, mengikut peredaran zaman, panchayat mula dipengerusikan oleh seorang sahaja; biasanya ketua kampung.
Cerpen ‘Pancayat’ (Siru Kambam, 1996) yang berlatarkan Kubur Gajah menampilkan misteri kehilangan berhala emas Kaali Devi dan disusuli beberapa kes kematian secara tiba-tiba. Tidak ada penyelesaian yang jitu pada akhir cerpen; dan ini disengajakan.
Beberapa persoalan dalam cerpen berkenaan terjawab dalam novel Panchayat. Tetapi novel itu pula pasti menimbulkan beberapa persoalan baru yang tidak dijawab di sini. Hal ini juga disengajakan.
Suatu hal yang ketara (dan sesungguhnya saya senangi) dalam karya saya adalah penampilan budaya, bahasa, adat dan cara hidup masyarakat India yang terdiri daripada beberapa keturunan yang bangga dengan identiti keturunan masing-masing; sambil tetap menjadi sebahagian daripada Bangsa Malaysia.
Sebenarnya saya beranggapan adalah menjadi tanggungjawab saya menampilkan kebudayaan kaum India untuk tatapan dan pemahaman para pembaca yang terdiri daripada pelbagai kaum di Malaysia.
Manuskrip lesap
Lapan bab pertama novel Panchayat telah saya hasilkan antara waktu-waktu kuliah di Universiti Malaya, Kuala Lumpur pada tahun 1994.
Sewaktu saya terlantar di Pusat Perubatan Universiti Malaya (Hospital Universiti) akibat kemalangan pada bulan Februari 1994, saya meluangkan masa membina plot dalam kepala untuk sepuluh bab terakhir.
Manuskrip novel ini pada mulanya diberi kepada sebuah penerbit terkemuka tanah air. Dr Othman Puteh (Allahyarham) selaku penilai sudah meluluskan manuskrip novel ini untuk diterbitkan.
Bagaimanapun, tidak lama kemudian, saya diberitahu bahawa manuskrip itu sedang dinilai semula sebagai sebuah novel kanak-kanak!
Tidak setakat itu, kemudian manuskrip yang sama diserahkan pula kepada seorang “ustaz” di penerbitan yang sama untuk dinilai semula bagi kali yang entah keberapa. Dan seperti yang telah saya duga, manuskrip yang saya serahkan itu “lesap” begitu sahaja. Entah apa alasan sebenar yang menyebabkan novel berkenaan tidak diterbitkan.
Akhirnya, pada tahun 2002, saya membuat keputusan menerbitkan sendiri novel ini supaya kisah yang terkandung di dalamnya boleh sampai kepada khalayak pelbagai kaum.
Apa yang menarik, walaupun ditulis empat tahun sebelum istilah “adil” mula menjadi bualan ramai, novel Panchayat banyak memuatkan istilah tersebut: mampukah majlis timbang cara berlaku adil, apakah seorang individu mampu menjamin keputusan yang benar dan adil, sukarnya menegakkan keadilan dan seumpamanya.
Tapi ingat: novel ini sudah saya tulis pada tahun 1994 lagi. Jadi, jangan pula ada pihak yang memutarbelitkan cerita dan mengatakan bahawa Panchayat berciri anti-establishment!
Akhirnya, novel Panchayat yang pernah “lesap” semasa dinilai seorang “ustaz” di sebuah penerbitan terkemuka tanah air sampai ke tangan pembaca pada tahun 2002.
Rasional mudah
Novel ‘Panchayat: Edisi Khas’ pula sedang dalam usaha untuk diterbitkan berikutan permintaan daripada masyarakat pelbagai kaum yang dahaga akan sebuah novel oleh sasterawan tempatan yang mampu menggambarkan budaya kaum India di Malaysia secara yang bermaruah.
Tidak dapat dinafikan bahawa “minat” ini timbul berikutan kontroversi novel ‘Interlok Edisi Murid’ (2010) yang masih belum ada penyelesaian yang memuaskan hati semua pihak.
Sebenarnya, kerangka yang saya gunakan dalam kerja-kerja “memurnikan” novel ‘Interlok Edisi Murid’ dijadikan panduan semasa “memurnikan” novel ‘Panchayat’.
Misalnya, keseluruhan novel itu diteliti semula dari aspek kesalahan bahasa, kesalahan fakta dan perkara-perkara yang mungkin menyentuh sensitiviti pembaca pelbagai kaum.
Rasionalnya amat mudah: Sedangkan karya seorang Sasterawan Negara boleh “dimurnikan”, inikan pula karya seorang pengarang biasa seperti saya.
Saya mendapatkan bantuan daripada sekumpulan rakan-rakan dari pelbagai latar, kaum, bidang dan pendidikan untuk meneliti novel ‘Panchayat’.
Maklum balas yang mereka berikan amat membantu kerja-kerja “memurnikan” novel berkenaan sebelum diterbitkan dalam bentuk edisi khas.
Selepas kerja-kerja “pemurnian” hampir selesai, kini saya perlu pula memikirkan soal dana bagi menerbitkan ‘Panchayat: Edisi Khas’. Tanpa wang yang mencukupi, tentu sukar untuk menerbitkan novel berkenaan walaupun ISBN sudah diperoleh dan reka kulit baru sedang diusahakan.
Uthaya Sankar SB berharap novel ini dapat diterbitkan sebelum beliau menyertai World Tamil Writers Conference di Singapura pada Oktober nanti.

No comments:
Post a Comment